[VIDEO] 'Giliran saya bantu Marzuani'- Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KOTA BHARU - Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan pendiriannya untuk membantu dan memenangkan Marzuani Ardila Ariffin yang dipilih mewakili BN di kerusi tersebut daripada merosakkan parti.

"Baik saya tolong daripada merosakkannya. Soal Marzuani, saya tidak mahu hasut orang berlawan-lawan.

"Rakyat sudah tolong saya sebelum ini, sekarang giliran saya tolong orang. Lagipun sebelum ini Marzuani dan ayahnya pernah menolong saya," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di sini pada Jumaat.

Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, beliau sudah menganggap Marzuani seperti anak dan sudah lama bekerja dengannya sebelum ini.

Tambahnya, Marzuani sudah lama bersama beliau semenjak dari arwah ayahnya lagi.

"Mak dia, makan sikit pun hantar ke rumah saya. Tidak tergamak saya hendak matikan orang yang saya sudah anggap macam anak," katanya.

Ujar Annuar, beliau cuma perlu reda dan fikirkan tentang parti.

Beliau difahamkan peringkat bahagian mencadangkan namanya bukan Marzuani begitu juga peringkat negeri serta lima teratas parti turut berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Agaknya presiden menggunakan kuasa yang ada pada beliau tapi saya tidak boleh kata apa.

"Saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.