Penyandang Parlimen Jempol hampir pasti tanding tiket PN

Mohd Salim
Mohd Salim
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Selepas penyandang kerusi Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif tidak dikekalkan sebagai calon di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), timbul khabar angin beliau kemungkinan membuat kejutan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Malah Ketua UMNO Bahagian Jempol itu juga tidak hadir pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN di Wisma Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pada Khamis sedangkan majlis itu menjemput semua barisan kepimpinan parti itu di setiap bahagian.

Menurut sumber, Mohd Salim hampir pasti bertanding atas tiket PN, malah beliau didakwa sudah pun mengambil borang calon di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Borang pun beliau dah beli, jadi apa keputusannya nanti tidak pastilah tetapi 80 peratus nampaknya macam ke arah itu (bertanding atas tiket PN).

"Saya difahamkan sudah ada perbincangan di peringkat PN pusat dan PN pun dikatakan mencari calon untuk menang, jadi ini peluang terbaik kepada beliau," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, UMNO Bahagian Jempol sudah menasihati Mohd Salim supaya tidak berbuat demikian demi kebaikan parti, namun beliau didakwa masih berkeras.

"Saya pun dah beri nasihat tetapi saya lihat beliau masih berkeras lagilah sebab isunya parti menolaknya cara yang tidak berhemah maksudnya macam itu.

"Tidak panggil berunding, pemimpin parti tak panggilnya, nak jumpa pun mereka (pemimpin parti) tak pedulikannya.

"Mengapa beliau tidak diberi peluang untuk bertanding malah gerak kerja (persiapan PRU15) telah dibuat, beliau rasa amat kecewa. Kini keputusan akhirnya beliau tentukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada Khamis mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli sebagai calon Parlimen Jempol.

Shamshulkahar
Shamshulkahar

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan UMNO Bahagian Jempol mahu Mohd Salim dikekalkan sebagai calon kerusi Parlimen Jempol pada PRU15 kerana beliau baharu satu penggal berkhidmat sebagai ahli Parlimen selain telah membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya.

Malah, Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) masyarakat Cina dan India turut membuat desakan supaya beliau dikekalkan sebagai calon.

Sementara itu, Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus ketika ditanya mengenai perkara berkenaan memberitahu, tidak tahu akan khabar angin berkenaan.

"Itu di luar pengetahuan saya. Apa pun soal kerusi adalah hak di peringkat kepimpinan pusat dan kita di peringkat negeri hanya melaksanakan tugasan bagi memastikan jentera bergerak dengan baik.

"Setakat ini lapan calon Parlimen di Negeri Sembilan yang ditampilkan oleh PN adalah seperti yang diumumkan," katanya.

Sementara itu menurut sumber UMNO Bahagian Jempol, Mohd Salim akan mengadakan perjumpaan dengan UMNO cawangan pada jam 3 petang pada Jumaat bagi menyatakan pendiriannya.

Pada PRU14, Mohd Salim memenangi kerusi Parlimen Jempol dengan majoriti 1,631 undi selepas memperoleh 26,819 undi, menewaskan calon PKR, Kamarulzaman Kamdias (25,188 undi) dan calon Pas, Mustaffa Daharun (5,267 undi).