Pakatan Anwar-Zahid satu pembohongan: Mat Sabu

Mohamad ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan Kedah pada Khamis.
Mohamad ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan Kedah pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Dakwaan wujud kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu pembohongan.

Timbalan Pengerusi PH, Mohamad Sabu berkata, ia merupakan tuduhan tidak berasas apabila mengaitkan berlaku pakatan antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, apa yang didedahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Rabu adalah pembohongan.

“Bohong, Abdul Hadi memang suka berbohong kebelakangan ini. (Kerjasama selepas PRU15) pun bohong,” katanya ringkas ketika ditemui selepas program Jelajah Mega Harapan Kedah di sini pada Khamis.

Abdul Hadi dalam sidang media di sini dilapor mendedahkan, wujud muslihat antara UMNO serta BN dan PH dalam menghadapi PRU15 dengan memastikan BN menang kurang kerusi untuk memberi laluan kemenangan besar kepada PH.

Beliau mendakwa, strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU15, selain mendakwa objektif akhir adalah menyelamatkan pemimpin BN yang berdepan kes pendakwaan di mahkamah.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menempelak sikap pemimpin BN yang asyik memainkan isu kegagalan PH mentadbir negara selama 22 bulan.

“Tunggulah kami tadbir sepenggal baru tahu gagal atau tidak. Dalam tempoh itu pun, kita dapat turunkan indeks rasuah dari kedudukan 61 kepada 51. Sekiranya perintah lima tahun, saya yakin dapat turunkan lagi ke angka 30-an dan Malaysia kembali menjadi 'the tiger of Asia'.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada menteri kita yang rasuah, jatuhkan pula kerajaan PH. Ini cara kita berpolitik,” katanya.

Menurutnya lagi, semua jentera parti PH harus memastikan kemenangan lebih banyak kerusi Parlimen dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 112 kerusi.

“Kalau kita dapat 112 kerusi, Anwar akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri, namun pastikan kerja kuat untuk bolot kerusi. Anwar memang layak jadi PM sebab beliau tokoh terkemuka dikenali dunia,” katanya lagi.