PRU15: Kawasan panas gaduh mulut, banjir kilat dikenal pasti

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah mengenal pasti empat kawasan 'hotspot' kejadian perselisihan faham di sekitar ibu negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, selain itu pihaknya juga turut mengenal pasti 57 lokasi yang sering berlaku banjir kilat dan persediaan rapi telah dilakukan bagi menangani bencana itu pada PRU15 yang dijangka berlangsung 19 November ini.

"Polis Kuala Lumpur telah mengenal pasti empat lokasi kes perselisihan faham/pertengkaran mulut melibatkan 2 komuniti berbeza yang berlaku dalam tempoh Januari hingga Oktober.

"Sebanyak 57 lokasi 'hotspot' banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur telah dikenal pasti oleh Polis Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di mana masing-masing dengan 32 dan 25 lokasi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azmi berkata, persiapan rapi mengikut fungsi dan tugas telah dilakukan bersama agensi berkenaan agar tindakan pantas dapat diambil bagi menghadapi banjir kilat pada bila-bila masa termasuk semasa PRU15.

Pada masa sama, beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sepanjang tempoh PRU15.

"Polis Kuala Lumpur akan terus membuat pemantauan terhadap semua situasi yang boleh mencetuskan provokasi melampau serta mengganggu gugat ketenteraman awam.

"Polis Kuala Lumpur mengingatkan kepada semua yang terlibat semasa kempen pilihan raya supaya berhemah dan tertib, selari peraturan yang ditetapkan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: