Terima sumbangan RM40,000, pesakit kanser harap kembali pulih

Wan Rosdy (kiri) mendengar kisah penderitaan Muhammad Adli selepas disahkan menghidap kanser tulang sejak 12 September lalu.
Wan Rosdy (kiri) mendengar kisah penderitaan Muhammad Adli selepas disahkan menghidap kanser tulang sejak 12 September lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja am di sebuah syarikat minyak dan Gas di Gebeng yang menghidap kanser tulang di bahu kanannya hampir dua bulan lalu menerima sumbangan RM40,000 daripada kerajaan Pahang.

Muhammad Adli Azahar, 29, mengakui tidak menyangka akan mendapat sumber kewangan daripada kerajaan Pahang bagi membantu rawatan kanser tulang yang dihadapinya.

"Terima kasih kepada Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) kerana memberikan sumbangan bagi merawat kanser ini. Saya berharap tangan saya akan pulih seperti biasa," katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu menerima cek sumbangan kerajaan Pahang berjumlah RM40,000 yang disampaikan oleh Wan Rosdy di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan penderitaan Muhammad Adli selepas disahkan menghidap kanser tulang selepas menjalani pemeriksaan di hospital pada 12 September lalu.

Muhammad Adli memaklumkan kini terpaksa berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kimoterapi.

Jelasnya, selepas empat kali kimoterapi barulah dia akan membuat imbasan MRI sebelum menjalani pembedahan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sumbangan sedemikian bertujuan menampung kos rawatan kepada Muhammad Adli Azahar yang menghidap kanser tulang sekali gus meringankan bebannya dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengakui terkejut dan berasa pilu selepas mendengar kisah Muhammad Adl apabila bahunya membesar dengan agak cepat dan hampir sama saiz bola sepak.

"Saya berharap agar sumbangan itu sedikit sebanyak membantu kos rawatan pembedahan untuk membuang ketumbuhan selain menggantikan tulang bahu dengan besi.

"Mari kita sama-sama berdoa beliau kembali pulih seperti sediakala," kata beliau secara ringkas.