Exco Kedah tanding kerusi Parlimen tidak perlu letak jawatan

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga Exco Kedah yang dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak perlu meletak jawatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan perintah Pejabat Peguam Negara, tiada halangan buat mana-mana Exco Negeri yang bertanding kerusi Parlimen untuk bertanding dan boleh menjalankan tugas mereka seperti biasa.

Exco tersebut adalah Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail, Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasrudin.

Seorang lagi adalah Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Ku Rahman merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak diumum bertanding di Parlimen Kubang Pasu, Azman ADUN Lunas bertanding di Parlimen Padang Serai, manakala Dr Robert ADUN Sidam bertanding di Parlimen Sungai Petani.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, nama calon Exco baharu mengantikan bekas Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob sudahpun dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Tuanku Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk diperkenankan.

Menurutnya, nama ADUN itu akan diumumkan kepada semua pihak selepas majlis angkat sumpah.

"Ada Exco yang melepaskan jawatan maka akan dibuat pengantian. Satu nama akan disembah maklum dan proses angkat sumpah akan berlaku setelah diperkenankan oleh Tuanku tentang tarikhnya.

Artikel Berkaitan:

"Bila dah serah, saya perlu tunggu perkenan (daripada Sultan Kedah) nama dan tarikh. Saya belum boleh umum lagi (nama baharu Exco Kedah)," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Darul Aman pada Khamis.

Pada 13 Oktober lalu, ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan melalui satu kenyataan yang diedarkan kepada media sebaik selesai mesyuarat exco di diadakan di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah.

Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah pada malam Selasa telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional untuk bertanding di kerusi Parlimen Pendang pada PRU15.