Mohd Syahir tak sangka ganti Nik Abduh di Bachok

Mohd Syahir
Mohd Syahir
A
A
A

KOTA BHARU - Calon Pas Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman secara rendah diri menerima keputusan pucuk pimpinan parti yang meletakkan beliau bertanding di Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat mengakui tidak pernah menyangka akan terpilih menjadi calon di Bachok apatah lagi menggantikan tokoh besar, Nik Muhamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun katanya, beliau merasa cukup bertuah apabila anak bekas Menteri Besar Kelantan itu menyatakan komitmen untuk membantunya sepanjang tempoh berkempen.

"Alhamdulillah kekanda saya Nik Muhamad Abduh telah menyatakan komitmen yang sepenuhnya untuk membantu kerja-kerja kempen saya sebagai calon baharu.

"Saya juga telah dipertemukan dengan Yang Dipertua Pas Bachok dan barisan kepimpinannya. Pas kawasan akan beri sepenuh komitmen kepada saya untuk diaturkan gerak kerja dan semua aktiviti yang berkaitan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, beliau akan berusaha menemui seramai mungkin pengundi terutama di luar kawasan pantai Bachok memandangkan beliau lebih dikenali di kawasan itu.

"Keluarga saya ramai di kawasan pesisir pantai Bachok jadi saya kena bagi lebih ruang untuk bertemu pengundi di bahagian lain," ujarnya.

Perikatan Nasional (PN) Kelantan malam tadi mengemukakan lima calon muka baharu daripada 14 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan pada PRU15 nanti.

Artikel Berkaitan:

Ia termasuk Mohd Syahir Che Sulaiman yang diberi laluan oleh penyandang, Nik Muhamad Abduh Nik Abdul Aziz sekali gus menjawab persoalan siapakah calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Bachok.