PRU15: Temerloh sentiasa dekat di hati Mohd Sharkar

Mohd Sharkar Shamsudin
Mohd Sharkar Shamsudin
A
A
A

KUANTAN - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyifatkan keputusan pucuk pimpinan BN meletakkan beliau untuk kembali bertanding di Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selaras dengan hasrat penduduk yang mahukan anak tempatan berkhidmat di daerah itu.

Menurutnya, sebagai anak jati Temerloh, beliau sangat memahami realiti setempat dan akan terus membawa suara pengundi Temerloh ke peringkat Parlimen demi kebaikan penduduk daerah itu.

"Untuk pengetahuan, saya dilahirkan di Kampung Bintang, Temerloh dan sememangnya, daerah ini sentiasa di hati saya dan keluarga dari dulu kini dan selamanya," katanya melalui satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Mohd Sharkar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang berkata, berbekalkan pengalaman sebagai Exco Kerajaan Pahang dan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, beliau ikhlas menawarkan khidmat untuk mewakili pengundi di situ peringkat Parlimen.

"Saya percaya, Pahang perlu meneruskan tradisi kepimpinan berwawasan di peringkat Persekutuan bukan sahaja bagi mewakili kepentingan masyarakat setempat, tetapi sebagai penyambung nilai-nilai tradisi dan perpaduan antara kaum di negara ini.

"Saya akan hadir untuk membawa masa depan yang lebih baik, lebih maju dan berkebajikan untuk masyarakat Termerloh," ujarnya.

Mohd Sharkar turut bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN Pahang dan pusat kerana telah mengumumkan beliau sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen P088 Termerloh untuk PRU15 ini.

Pada PRU14, Mohd Sharkar tewas kepada penyandang kerusi itu, dari parti Amanah, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir.

Artikel Berkaitan:

Mohd Anuar memperoleh 23,998 undi dan menang dengan majoriti 1,904 undi mengalahkan Mohd Sharkar (22,094 undi), calon Pas, Md Jusoh Darus (14,734 undi) dan dua calon bebas.