Netanyahu kembali pegang kuasa?

Benjamin Netanyahu
Benjamin Netanyahu
A
A
A

TEL AVIV - Benjamin Netanyahu dijangka kembali memegang tampuk kepimpinan di Israel selepas ramalan awal pilihan raya menunjukkan majoriti kerajaan bakal berada dalam genggaman veteran politik berhaluan kanan tersebut.

Jika keputusan itu berpihak kepada beliau, ia bakal menyaksikan kemunculan semula yang agak dramatik buat Netanyahu.

Beliau merupakan bekas Perdana Menteri paling lama memegang kuasa, selain Parti Likud pimpinannya membentuk gabungan bersama sekutu ultra-Ortodoks dan kumpulan berhaluan kanan yang semakin meraih sokongan di Tel Aviv.

Namun, pesaing utamanya, Perdana Menteri sementara, Yair Lapid menegaskan, keputusan akhir belum diumumkan untuk menentukan kemenangan Netanyahu, 73, yang masih berdepan perbicaraan kerana terlibat kes rasuah.

“Kami akan menanti dengan penuh sabar,” kata pemimpin Parti Yesh Atid tersebut.

Ramalan awal menunjukkan margin tipis seperti dijangka banyak pihak di negara yang menyaksikan kemelut politik tidak berkesudahan hingga terpaksa mengadakan Pilihan Raya Umum Kelima dalam tempoh kurang daripada empat tahun.

Ketika pemilihan sebelum ini, pelarasan dibuat sewaktu proses kiraan undi telah mengubah keputusan yang sekali lagi menyebabkan kebuntuan politik di Tel Aviv.

Ramalan awal itu memberikan ‘isyarat positif’ kepada Netanyahu seperti yang diramalkan beberapa pihak, dengan Parti Likud dikatakan berada di landasan untuk berada di kedudukan teratas dengan memenangi antara 30 dan 32 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Angka tersebut jika digabungkan dengan pakatan Religious Zionism dan dua parti ultra-Ortodoks akan menjadikan blok Netanyahu meraih antara 61 serta 62 kerusi.

Difahamkan, kemenangan jelas blok tersebut akan menamatkan pemerintahan gabungan kerajaan terdiri daripada lapan parti di bawah pimpinan Lapid yang berjaya menyingkirkan Netanyahu pada tahun lalu.

Sementara itu, Parti Yesh Atid dijangka berada di belakang Lapid dengan memperoleh antara 22 dan 24 kerusi.

Gabungan ekstremis

Pemimpin berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir dilihat sebagai ‘kunci utama’ untuk membantu Netanyahu kembali merampas kuasa setelah blok Religious Zionism diramalkan memenangi 14 kerusi.

Sebelum ini, Ben-Gvir berikrar untuk merampas seluruh wilayah Tebing Barat dengan memberi alasan kononnya bimbang terhadap keselamatan penduduk Israel.

“Sudah tiba masanya kita kembali menjadi ‘tuan’ kepada negara ini,” katanya dengan angkuh ketika menggesa peng-gunaan tindakan kekerasan secara berlebihan ke atas penduduk Palestin.

Sementara itu, Menteri Kehakiman, Gideon Saar yang pernah menjadi sekutu kuat Netanyahu memberi amaran Israel berisiko memilih ‘gabungan ekstremis’ jika kemenangan berpihak kepada Netanyahu.

Ahli Parlimen Arab, Aida Touma-Suleiman juga senada dengan beliau apabila berpendapat bekas Perdana Menteri terpalit skandal rasuah itu mungkin akan membentuk kerajaan terdiri daripada golongan fasis (pengikut ideologi nasionalisme).

Seorang pengundi menunaikan tanggungjawab di pusat pengundian di perkampungan al-Tireh, Tebing Barat pada Selasa.
Seorang pengundi menunaikan tanggungjawab di pusat pengundian di perkampungan al-Tireh, Tebing Barat pada Selasa.

Pilihan Raya Umum Kelima itu diadakan pada Selasa di tengah-tengah keganasan semakin meningkat di seluruh Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.

Kebanyakan calon hanya menzahirkan kebimbangan terhadap isu keselamatan dan tiada seorang pun berjanji untuk menghidupkan semula perjanjian damai bersama Palestin.

“Ramalan awal itu jelas menunjukkan peningkatan ekstremisme dan rasisme dalam komuniti Israel,” ujar Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shttayeh yang melihat ia tidak akan membawa sebarang perubahan kepada penduduk Palestin yang tertindas selama beberapa dekad.

Proses kiraan undi kini memberi tumpuan kepada Parti Balad pimpinan Arab yang menolak sebarang kerjasama dengan tadbir urus Israel.

Ramalan awal menunjukkan Balad kekurangan 3.25 peratus undi yang diperlukan untuk meraih empat kerusi minimum di Knesset (Parlimen).

Jika Balad memperoleh lebih banyak undi, ia dijangka memberi tamparan kepada Netanyahu.

Tetapi, situasi tersebut dikatakan tidak akan mematahkan semangat beliau.

“Netanyahu akan cuba melakukan apa sahaja untuk membentuk pakatan walaupun pernah gagal sebelum ini dan tidak kira sesukar mana cabarannya.

“Ini kerana beliau menganggap usaha menyelamatkan negara itu sebagai ‘misi’ daripada Tuhan,” kata bekas jurucakapnya, Aviv Bushinsky merujuk kepada kritikan pemimpin tersebut terhadap penubuhan kerajaan singkat oleh pesaingnya, Naftali Bennett yang disifatkan sebagai ‘eksperimen berbahaya dan bencana’. - AFP

INFO

Netanyahu menjadi pemimpin Parti Likud pada 1993 dan memimpin parti tersebut hingga membawa kemenangannya sebagai Perdana Menteri Israel paling muda ketika berusia 46 tahun pada 1996.

Pernah kehilangan kuasa pada 1999, namun berjaya merampas semula kepimpinan negara itu sedekad kemudian (2009-2021).