Anak Musa Aman digugurkan kerusi Parlimen Sipitang

Matbali dinamakan sebagai calon Parlimen Sipitang bagi menggantikan Yamani Hafez.
Matbali dinamakan sebagai calon Parlimen Sipitang bagi menggantikan Yamani Hafez.
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa antara nama yang digugurkan dalam senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam pengumuman yang berlangsung di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak dicalonkan semula bagi kerusi Parlimen Sipitang.

Tiga lagi nama lain yang turut digugurkan ialah penyandang bagi Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, penyandang kerusi Parlimen Kudat, Datuk Rahim Bakri dan penyandang kerusi Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Idris.

Nama-nama yang digugurkan itu menang pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional (BN) namun bertukar parti kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan beliau dimaklumkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa penyandang kerusi Parlimen Sipitang itu menolak untuk bertanding semula.

"Menurut Ketua Menteri (Hajiji), dia (Yamani) menolak untuk bertanding (Sipitang). Setakat ini, (Musa) tidak berhasrat dan dia tidak pernah maklumkan kepada saya untuk kembali," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai Yamani dan Musa selepas mengumumkan calon GRS-BN.

Sebelum itu, dalam pengumuman yang telah dibuat, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Matbali Musah dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Sipitang.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ruddy Awah dinamakan sebagai calon Parlimen Kudat, Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Beaufort, manakala ADUN dilantik Datuk Suhaimi Nasir dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Libaran.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, satu lagi kerusi bagi Parlimen Beluran masih belum diumumkan dan difahamkan dalam perbincangan oleh GRS dan BN.