Jangan amal budaya politik 'sate': Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada program sembang santai bersama penduduk sempena kempen PRK DUN Rantau di Taman Angsamas malam tadi. - Foto: ADAM AMIR HAMZAH
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada program sembang santai bersama penduduk sempena kempen PRK DUN Rantau di Taman Angsamas malam tadi. - Foto: ADAM AMIR HAMZAH
A
A
A

SEREMBAN - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua ahli UMNO supaya tidak mengamalkan budaya politik 'sate'.

Perumpamaan sate itu merujuk budaya cucuk-mencucuk di antara pemimpin dalam parti yang boleh menjadi punca kepada perpecahan dalam kalangan ahli.

“Saya tidak cemburu dengan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), dia tidak cemburu saya.

"Tapi saya kena ingat... saya ada tukang cucuk, Tok Mat lagi ramai tukang cucuk, jadi, hati-hati dengan tukang cucuk ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah pada program Ramah Mesra bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Taman Angsamas malam tadi.

Beliau berkata, politik ini dilihat banyak yang seperti sate.

“Sate tak namanya sate kalau tak dibakar tapi kena cucuk dulu.

"Sate ni, kalau ada tukang kipas dia kipas kejap kiri, kejap kanan... kejap depan, kejap belakang.

Artikel Berkaitan:

"Tukang kipas sate ini bahaya. Ada dalam parti, ada di luar parti," katanya.

Ini kali pertama Ahmad Zahid turun dalam edisi berkempen membantu calon BN Mohamad.

Dalam pada itu, beliau memuji Mohamad yang menjalankan tugas sebagai pemangku presiden UMNO paling baik setakat ini.

"Tok Mat ini kawan saya... apabila saya beri kepercayaan jalankan tugas Presiden, beliau buat yang paling baik.

"Ertinya pengalaman beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebelum itu telah dapat meletakkan Tok Mat semasa ketiadaan saya selama lebih 100 hari ini, memang beliau boleh dipercayai untuk menjalankan tugas," katanya.

Ahmad Zahid pada akhir ucapannya turut memberitahu itu merupakan ceramah pertama dan terakhirnya di Rantau.

"Saya dah datang tiga kali, iaitu sebelum dan semasa hari penamaan calon dan ini kali terakhir... yang penting untuk saya bukan berapa kali saya turun, tapi berapa banyak diberikan," katanya.