Tak perlu beri komisen laksana projek di Kedah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR – Mana-mana pelabur yang berhasrat melabur di Kedah tidak perlu memberi komisen dalam perlaksanaan projek di negeri ini yang dikhuatiri boleh membawa kepada masalah ‘ekonomi gelap’.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau memberi laluan kepada semua pihak datang ke Kedah membawa modal dan usaha untuk melaksanakan projek yang akan memberi faedah kepada negeri dan rakyat.

“Tidak payah bagi apa-apa komisen, semuanya dilakukan ‘on the table’.

"Saya rasa inilah perkara-perkara yang diberi perhatian untuk elak daripada terjebak dalam ekonomi gelap hingga ganggu sistem dan kedudukan kewangan negara.

“Ada pegawai bank maklumkan kepada saya bahawa sebahagian besar ekonomi bergerak di bawah 'karpet', yang mana dipanggil ekonomi gelap sehingga para pegawai bank, syarikat kewangan tidak dapat membuat unjuran berapa faedah patut dikenakan ke atas pinjaman yang akan mereka keluarkan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika sesi pergulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah di bawah kepimpinan beliau hanya akan berurusan dengan ekonomi cerah dan tidak memberi laluan kepada ekonomi gelap untuk memastikan kewangan dan sistem dipakai adalah telus.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi memberi jaminan segala hasil diperolehi daripada bumi termasuklah unsur nadir bumi (REE) di Kedah akan memberi faedah kepada rakyat dan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau telah mengarahkan semua pihak yang berhasrat melakukan kerja mengekstrak mineral berharga di Kedah untuk mematuhi segala peraturan ditetapkan.

“Kita akan pastikan setiap sen daripada REE akan menjadi sumber baharu negeri, dalam bajet disediakan ini kita memasukkan hasil REE adalah RM5 juta,” katanya.