Armishah sedia jadi pencabar Tun M di Langkawi

Armishah
Armishah
A
A
A

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) Kedah menamakan Datuk Armishah Siraj untuk berhadapan dengan penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon muka baharu ini bukanlah asing di Kedah dan dikenali ramai khususnya di Langkawi.

Biarpun bakal berentap dengan calon heavyweight dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Armishah, 58, menyatakan keyakinan untuk memberi saingan sengit seterusnya merampas semula Langkawi agar kembali menjadi milik BN.

“Saya hormati Dr Mahathir sebagai seorang negarawan, namun saya bersedia menjadi pencabar beliau untuk merebut kerusi Langkawi. Saya juga bersyukur diberi peluang sebagai calon BN, ini amanah besar untuk dilaksana,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Menurutnya, biarpun dilabel sebagai calon kurang dikenali atau ‘underdog’, beliau bersedia menghadapi sebarang kemungkinan setelah menceburi dunia politik walaupun diletakkan di kawasan panas.

“Untuk bersaing dengan seorang tokoh seperti Dr Mahathir, saya perlu betul-betul fokus dan tumpuan saya adalah untuk menabur khidmat menyelesaikan masalah penduduk Langkawi sejak setahun lalu,” katanya.

Armishah memberitahu, antara isu yang beliau berjaya selesaikan ialah diskaun pembelian secara online tiket feri untuk anak jati Langkawi yang sebelum ini hanya diberikan diskaun di kaunter.

“Sekiranya saya diberikan mandat di Langkawi, saya akan bawa pembaharuan segera untuk naik taraf sektor pelancongan agar kembali rancak dan seiring dengan Pulau Phuket dan Bali. Sudah tiba masanya Langkawi menerima lebih banyak penerbangan terus dari negara berpotensi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, aspek lain termasuk menaik taraf sektor pendidikan di Langkawi serta mengatasi isu feri terkandas yang berpunca daripada alur cetek.

“Respon penduduk setempat dilihat sangat positif dengan kehadiran saya sebagai calon PRU15. Rakyat mahukan wakil rakyat kalangan anak tempatan yang mudah ditemui di kawasan agar masalah dapat diselesaikan segera,” katanya.

Armishah turut yakin dengan momentum pengundi bukan Melayu di Langkawi yang dilihat memihak kepada dirinya.

“Saya bukan sekadar cakap kosong, berdasarkan kajian yang saya lakukan terhadap pengundi di sini, saya mampu beri saingan sengit, menang atau kalah itu biar pengundi tentukan,” ujarnya lagi.

Biarpun pertama kali menerjah dunia politik selepas bersara pada pertengahan tahun ini, Armishah mula dikenali penduduk setempat sebagai aktivis masyarakat di pulau pelancongan itu.

Pelbagai program diadakan bagi memenangi hati pengundi sejak beliau kembali ke tempat kelahirannya itu.

Ketokohannya untuk bertembung calon gergasi dari Pejuang umpama buku bertemu ruas, susulan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar ini mencatat sejarah tersendiri apabila pernah bertugas bawah pentadbiran tiga Menteri Besar Kedah berbeza parti politik, masing-masing dua dari BN dan Pas.

Armishah pernah menabur jasa di Langkawi sebagai Pentadbir Tanah Daerah Langkawi pada 2010 hingga 2014, selain dilantik sebagai Setiausaha Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Taman Teknologi Tinggi Kulim pada 2005 hingga 2007.

Pencalonan beliau sekali gus mengetepikan Datuk Ir Nawawi Ahmad yang sebelum ini bertanding pada PRU14, namun tewas kepada Dr Mahathir dengan majoriti 8,893 undi.

Kerusi Langkawi sebelum itu merupakan milik UMNO pada PRU13 apabila Nawawi menang bergaya dengan majoriti 11,861 undi menewaskan calon PKR, Datuk Ahmad Abdullah.

Armishah antara lapan calon muka baharu diperkenalkan BN Kedah untuk merebut kerusi Parlimen.

Percaturan itu dibuat bagi menambah bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi berbanding hanya dua kerusi pada PRU14, iaitu di Padang Terap dan Baling.