PRU15: Kimma akhirnya diberi kerusi selepas 46 tahun menunggu

Syed Ibrahim
Syed Ibrahim
A
A
A

PUCHONG - "Saya tidak akan kritik individu sebaliknya hanya akan pamerkan apa yang saya boleh buat untuk bantu masyarakat Puchong," kata calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.

Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) itu berkata, pihaknya berterima kasih kepada BN kerana memberikan peluang kepada Kimma yang telah menunggu selama 46 tahun untuk mendapat kerusi.

Syed Ibrahim berkata, beliau memulakan karier politik bersama UMNO selama 19 tahun sebelum menyertai Kimma sebagai ahli biasa sehingga dilantik menjadi presiden.

"Saya aktif dengan politik selama 49 tahun dan ini merupakan pertama kali diberikan kepercayaan menjadi calon.

"Parti Kimma telah menunggu selama 46 tahun untuk bertanding dan kali ini barulah BN sediakan satu kerusi untuk saya bertanding," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau menegaskan akan berkempen secara berhemah dan memberikan contoh yang baik bertepatan dengan latar belakangnya sebagai seorang pendakwah.

"Saya bukan seperti ahli politik lain yang akan maki hamun pihak lawan, saya akan mengendalikan PRU15 ini dengan cara saya sendiri.

"Walaupun tidak tinggal di Puchong, namun saya selalu berhubung dengan orang Puchong dan ramai kenalan serta saudara mara di sini. Tambahan pula pejabat saya berada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, jadi kerap ulang-alik di sini," katanya.

Katanya, amanah yang diberikan oleh BN akan digalas sebaiknya dan berjanji akan memberikan tentangan yang sengit.

"Kita usahakan bawa seberapa ramai jentera dari parti komponen BN yang telah bersetuju untuk memberikan kerjasama.

"Sebaik nama dicalonkan, saya telah pusing di Puchong pada Rabu untuk bertemu dan mengadakan perbincangan dengan banyak pihak. Saya akan memberikan tentangan yang sengit," katanya.

Kerusi Puchong sebelum ini disandang oleh Gobind Singh Deo (DAP) selama tiga penggal selepas menang pada 2008, 2013 dan 2018.

Pada 2018, Gobind memperoleh majoriti 47, 635 undi menewaskan Ang Chin Tat (Gerakan) dan Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan (Pas).