Cikgu Zubir kembali tanding di Parlimen Kuala Terengganu

Mohd Zubir
Mohd Zubir
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketua Penaziran UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong sedia bertanding sekali lagi sebagai calon BN di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau lebih mesra dengan gelaran Cikgu Zubir berkata, gelaran 'calon kitar semula' tidak mematahkan semangat malah kepercayaan yang diberikan akan digalas sebaik mungkin bagi membawa suara keramat rakyat.

"Era sekarang era ialah era media sosial dan 'first time voters'. Banyak perkara yang telah mengubah landskap pemilihan dan kita tidak boleh katakan cara lama itu boleh amalkan lagi seratus peratus.

"Kaedah dan metodologi untuk mendekati pengundi juga telah berubah. Yang penting kita pastikan agenda menjaga rakyat diberikan keutamaan mutlak," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

BN pada Selasa mengumumkan nama-nama calonnya yang akan bertanding pada PRU15 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sementara itu, ditanya sejauh mana keyakinan beliau untuk menawan kerusi yang menjadi kubu kuat Pas itu, Mohd Zubir berkata, perkara itu tidak mustahil kerana senario sokongan sentiasa berubah-ubah berdasarkan keadaan semasa.

"Selepas BN tewas pada PRU14, rakyat berdepan dengan pemerintahan yang tidak stabil dan telah beberapa kali bertukar kerajaan.

"Apa yang boleh dikatakan ialah rakyat perlu mengenang semula kesengsaraan dialami pada zaman pemerintahan lalu dan ingat kembali nikmat kesenangan dalam rutin kehidupan ketika pemerintahan BN.

Artikel Berkaitan:

"Hanya BN sahaja yang boleh memacu negara ke arah kemajuan, kemakmuran dan paling penting menjaga kebajikan rakyat," kata beliau.

Mohd Zubir yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata, beliau masih tetap dengan pendirian sama seperti semasa berkempen pada PRU13 lalu dengan tidak memburukkan pihak lawan.

"Siapapun lawan di kerusi ini kita akan hormati dan sanjungi. Apa yang akan diketengahkan ialah impian dan matlamat kita sebagai wakil rakyat.

"Muafakat dan perpaduan adalah keutamaan. Tiada guna memburukkan pihak lawan kerana keutamaan kita ialah membawa suara rakyat kerana sebagai calon, sudah pasti kita akan bekerja untuk mereka," katanya.

Pada PRU13 lalu, Mohd Zubir tewas kepada Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang bertanding atas tiket Pas ketika itu dengan majoriti 10,785 undi.

Mohd Zubir yang merupakan Bekas Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu ketika itu mendapat 35,043 undi manakala Raja Bahrin mendapat 45,828 undi dan seorang lagi calon Bebas, Maimun Yusuf (187 undi).

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu ketika itu ialah Mohd Abdul Wahid Endut dari Pas selepas memenangi pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Januari 2009 dengan majoriti 2,631 undi.


Profil Mohd Zubir

Pendidikan:

1. Ijazah Sains Pengurusan (University of Canberra, Australia)

2. Ijazah Sarjana Pentadbiran Pendidikan (Universiti Putra Malaysia)

3. Diploma Pendidikan (Maktab Perguruan Pendidikan Pulau Pinang)

Kerjaya:

1. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (SMK Bukit Sawa Kuala Terengganu)

2. Penolong Pengarah KBSR (JPNT)

3. Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Akademik (JPNT)

4. Ketua Sektor Pengurusan Akademik (JPNT)

5. Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu