MCA tanding di Parlimen Batu, bukan MIC

Ka Siong (tengah) ketika sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ka Siong (tengah) ketika sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Batu dan bukannya MIC pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ini berikutan selepas perjumpaan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan bahawa Parlimen Batu itu merupakan kerusi yang akan ditandingi MCA.

Ujarnya, MCA bersetuju bertanding di kerusi Parlimen Batu selepas parti itu 'menyerahkan' kerusi Padang Serai kepada MIC.

"Jadi selepas saya berjumpa dengan Pengerusi BN telah sahkan bahawa memang Parlimen Batu itu merupakan kerusi MCA bertanding.

"Yang mana-mana tak umumkan atau perubahan kecil, saya serahkan pada ibu pejabat BN khususnya atas arahan pengerusi BN.

"Jadi ini sedikit penjelasan supaya kita dapat jernihkan air yang keruh supaya situasi ini dapat diberi maklum pada orang ramai," katanya ketika sidang media di Wisma MCA di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ka Siong memaklumkan akan menampilkan 50 peratus muka baharu yang bertanding buat pertama kali bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.

Jelas beliau, sebanyak 17 calon daripada 44 kerusi Parlimen dan 18 muka baharu daripada 26 kerusi DUN yang ditandingi parti itu merupakan calon yang pertama kali bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

"Kita tampilkan muka baharu buat kali pertama mewakili BN dan MCA. Seramai 17 calon daripada 44 kerusi Parlimen ditandingi merupakan muka baharu termasuk tujuh wakil wanita dan dua calon bawah 30 tahun.

“Sekali lagi ingin menampakkan kesungguhan bahawa kita beri peluang pada orang-orang baharu dan muda untuk menjadi wakil kepada suara rakyat.

"Selain di peringkat DUN, kita tanding 26 kerusi melibatkan negeri Perak (17 kerusi), Pahang (tujuh kerusi) dan Perlis (dua kerusi) dan perkenalkan 18 muka baharu untuk bertanding kerusi DUN yang mana lima daripadanya adalah wakil wanita," katanya.

Beliau menambah bahawa PRU kali ini merupakan satu gandingan dan posisi agak seimbang dari segi umur.

"Paling penting adalah kita kena pastikan dapat bekerja keras bersama parti komponen lain untuk meraih sokongan rakyat," ujarnya.

Pada PRU14, MCA hanya memenangi satu daripada 39 kerusi Parlimen dan dua daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi, sekali gus merekodkan kekalahan paling teruk dalam sejarah penubuhannya.