Sangka kawalan longgar ketika PRU, sindiket gagal seludup PATI

Maritim Selangor menahan 44 PATI susulan penahanan sebuah bot di perairan Tanjung Layang, Selangor pada Isnin.
Maritim Selangor menahan 44 PATI susulan penahanan sebuah bot di perairan Tanjung Layang, Selangor pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Cubaan sindiket penyeludupan mengambil kesempatan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana menyangka tiada kawalan ketat pihak berkuasa hanya memakan diri.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya menahan sebuah bot yang membawa 44 PATI warga Indonesia di perairan Tanjung Layang, pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, bot kayu yang dipandu tekong dan dua kru warga Indonesia itu ditahan pada jam 9.35 malam.

Siva Kumar menunjukkan bot kayu yang digunakan sindiket bagi membawa 44 PATI dari Indonesia sebelum ditahan di Tanjung Layang, Selangor pada Isnin.
Siva Kumar menunjukkan bot kayu yang digunakan sindiket bagi membawa 44 PATI dari Indonesia sebelum ditahan di Tanjung Layang, Selangor pada Isnin.

"Pencerobohan itu dikesan Radar Sistem Pengawasan Laut (Swasla) Maritim Malaysia selepas bot itu bergerak dalam keadaan mencurigakan dari perairan Indonesia.

"Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, bot terbabit dipecut laju sebelum berjaya ditahan selepas dikejar hampir 10 minit oleh anggota maritim," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini pada Rabu.

Beliau berkata, tekong dan dua kru berusia lingkungan 25 hingga 47 tahun yang ditahan itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Katanya, 44 PATI ditahan terdiri daripada 39 lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang ditemukan berhimpit di atas dan bawah dek bot.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket dan rangkaian terlibat. Kita tidak tolak kemungkinan bot itu juga akan membawa pulang PATI lain yang sedang menunggu.

"Maritim juga percaya sindiket ini mengambil kesempatan dan menganggap kononnya anggota penguat kuasa mengendurkan kawalan dan operasi menjelang PRU ini. Tapi saya tegaskan kita tetap melaksanakan tindakan dan kawalan biar pun ketika musim perayaan dan cuaca tidak baik," ujarnya.

Tambah Siva Kumar, kesemua PATI terbabit dipercayai dibawa dari beberapa lokasi di Indonesia seperti Pulau Rupat, Dumai dan Tanjung Balai.

Siva Kumar memeriksa PATI yang ditahan di perairan Tanjung Layang, Selangor pada Isnin.
Siva Kumar memeriksa PATI yang ditahan di perairan Tanjung Layang, Selangor pada Isnin.

"Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Untuk rekod, Maritim Selangor telah menahan 103 PATI terdiri daripada warga Myanmar, Thailand dan Indonesia pada tahun ini bagi tempoh Januari hingga Oktober.

"Aset-aset kita telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menyekat aktiviti penyeludupan khasnya bagi kes jenayah rentas sempadan," tegasnya.