Akar umbi UMNO mahu Mohd Salim kekal di Jempol

UMNO Bahagian Jempol akan menghantar surat rayuan meminta Mohd Salim dikekalkan sebagai calon Parlimen Jempol.
UMNO Bahagian Jempol akan menghantar surat rayuan meminta Mohd Salim dikekalkan sebagai calon Parlimen Jempol.
A
A
A

JEMPOL - UMNO Bahagian Jempol mahu Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dikekalkan sebagai calon kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia selepas nama Mohd Salim tiada dalam senarai nama calon BN Negeri Sembilan yang tular sejak Isnin.

Dalam senarai berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol dinamakan sebagai calon Parlimen Jempol.

Setiausaha UMNO Bahagian Jempol, Zamri Omar berkata, meskipun belum ada pengumuman rasmi mengenai calon, namun khabar angin mengenainya kelihatan sahih.

Menurutnya, ia dikuatkan lagi apabila Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu tidak dipanggil ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk pengumuman senarai calon BN pada malam Selasa.

"Jika benarlah Datuk Mohd Salim bukan calon Parlimen Jempol, kita amat kecewa kerana beliau telah pun mengeluarkan peruntukan untuk kesemua bilik gerakan menggerakkan jentera parti bagi memastikan kemenangan kepada BN di Parlimen Jempol.

"Lagipun beliau baru saja satu penggal menjadi ahli Parlimen dan telah membuktikan khidmatnya kepada masyarakat di sini," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Bahagian Jempol di sini pada Selasa.

Pada sidang media berkenaan, seramai 100 pengerusi bilik gerakan BN dan pengerusi pusat daerah mengundi BN hadir sebagai tanda sokongan kepada Mohd Salim.

Artikel Berkaitan:

UMNO Jempol memberikan sokongan penuh kepada Mohd Salim sebagai calon Parlimen Jempol.
UMNO Jempol memberikan sokongan penuh kepada Mohd Salim sebagai calon Parlimen Jempol.

Sementara itu, Zamri turut mendakwa nama Mohd Salim tidak disenaraikan disebabkan konspirasi politik yang berlaku dalam UMNO.

Ini kerana katanya, Mohd Salim dianggap sebagai penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bukannya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jempol, Salamat Taman kesal pimpinan parti tidak mendengar suara dan pandangan daripada akar umbi UMNO yang mahukan Mohd Salim sebagai calon.

"Saya sebagai ahli jawatankuasa bahagian Jempol mendesak supaya Mohd Salim diberi peluang satu penggal lagi kerana dia masih baharu dan tengah bersemangat untuk berbakti kepada masyarakat Jempol.

"Lagipun memang kita hantar nama dia sebagai calon dan ia telah dipersetujui sebulat suara. Tapi apa yang dikesalkan lain pula jadinya pada saat akhir sedangkan pucuk pimpinan parti minta pandangan dan cadangan daripada kita,"katanya.

Ketua UMNO Cawangan Palong 16, Abdullah Ismail juga berharap Mohd Salim dikekalkan sebagai calon memandangkan beliau baru sepenggal menjadi ahli Parlimen.

"Orang (Mohd Salim) yang bersungguh-sungguh menghimpunkan ahli UMNO selepas UMNO kalah PRU14 dan bagaimana orang yang sudah bersusah payah hendak diketepikan sebagai calon," katanya.

Pada PRU14, Mohd Salim memenangi kerusi Parlimen Jempol dengan majoriti 1,631 undi selepas memperoleh 26,819 undi, menewaskan calon PKR, Kamarulzaman Kamdias (25,188 undi) dan calon Pas, Mustaffa Daharun (5,267 undi).