Pas harap senarai calon kalis ubah

Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) bersama Fadillah (tiga dari kanan) ketika hadir ke Majlis Pembukaan Jalan Kuala Terengganu Bypass, di sini pada Selasa.
Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) bersama Fadillah (tiga dari kanan) ketika hadir ke Majlis Pembukaan Jalan Kuala Terengganu Bypass, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perubahan nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih boleh berlaku sehingga tiba hari penamaan calon pada 5 November.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti seboleh-bolehnya mahu mengelak perkara tersebut namun tidak menolak kemungkinan ia boleh terjadi terutama di kerusi Parlimen tertentu.

"Kebiasaannya apabila kita mencadangkan nama-nama untuk diangkat sebagai calon pada hari penamaan calon, kita berusaha sebaik mungkin supaya ianya kalis ubah agar tidak berlaku lagi perubahan.

"Tetapi realiti yang berlaku kadangkala ada juga dalam keadaan tertentu di luar daripada jangkaan kita yang menyebabkan kerusi-kerusi tertentu itu berlaku perubahan.

"Jadi nak kata tidak ada tu, kita tidak boleh janjilah, tapi kita seboleh mungkin usaha ia kalis ubah. Boleh berlaku (perubahan) dan boleh juga tidak berlaku.

"Jadi selagi belum penamaan calon, ada lagi ruang-ruang penambahbaikan di kerusi tertentu sekiranya ada, sekiranya tidak mendatangkan apa-apa masalah ia akan diteruskan dengan senarai itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku perubahan nama calon pada saat-saat akhir yang akan bertanding dalam PRU15.

Menteri Besar Terengganu itu ditemui pemberita selepas hadir ke Majlis Pembukaan Jalan Kuala Terengganu Bypass yang disempurnakan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Samsuri yang merupakan ADUN Rhu Rendang turut mengulangi jawapan tidak akan bertanding di Parlimen walaupun desas desus mengatakan beliau bakal beralih arah ke kerusi tersebut dalam PRU15.

Katanya, beliau masih lagi Menteri Besar Terengganu yang akan menjalankan tugas menyelesaikan pelbagai agenda rakyat.

"Nama saya ada (tersenarai) di empat, lima Parlimen tapi satu pun tidak betul. Buat masa ini saya masih tidak bertanding, jangan susah susah buat spekulasi," katanya.