'Saya bukan katak politik' - Jurey Latiff

Jurej Latiff Rosli
Jurej Latiff Rosli
A
A
A

LENGGONG - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Jurey Latiff Rosli menyangkal dakwaan beliau 'katak politik' kerana bertanding mewakili parti itu di Parlimen Lenggong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Jurey Latiff, beliau keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila berlakunya krisis kepimpinan di antara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya menjadi ahli PKR sejak setahun lalu dan saya bukan isu 'katak politik' kerana Bersatu pada masa itu adalah rakan strategik dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Jurey Latiff berkata, beliau berharap dapat menjadi seorang wakil rakyat dan berada bersama menyelami kesusahan rakyat.

“Saya mahu berjuang bagi membantu rakyat dalam meningkatkan taraf hidup mereka terutama golongan miskin tegar yang masih ada di sini,” katanya.

Beliau berkata, hasrat itu boleh dicapai dengan menjadi seorang wakil rakyat dan kerana itu beliau menjadi ahli politik untuk memperjuangkan hasrat agar boleh memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya mempunyai beberapa cadangan seperti membina sebuah studio perfileman yang mampu memberikan 5,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak di sini supaya mereka tidak perlu mencari pekerjaan di bandar.

“Dengan adanya studio akan mempunyai kemudahan untuk latihan, tempat tinggal dan sekali gus membolehkan inap desa, hartanah dan perniagaan berkembang di sini.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, saya juga mahu melaksanakan pasar terapung di Tasik Raban sebagai tarikan kepada pelancong dalam membantu peniaga menjual barangan bagi meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Jurey Latiff yang merupakan anak jati Lenggong berkata, tidak ada gunanya kita menghabiskan jutaan ringgit untuk mendapatkan status Lenggong sebagai tapak warisan kebangsaan dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sedangkan banyak kawasan terbiar.

“Tidak guna kalau kita bina bangunan terbiar dan rakyat tidak mendapat dapat impaknya,” katanya.

Justeru itu, katanya, beliau bertekad untuk masuk politik supaya rakyat di Lenggong yang kebanyakan bekerja sebagai penoreh getah dan kerja kampung mendapat pembelaan.

“Saya mahu harga getah yang rendah menjadi isu perlu diapungkan dan distabilkan antara perjuangan saya.

“Kalau nak tengok ada perubahan dan merancakkan pembangunan ekonomi di Lenggong, pilihlah pemimpin yang memperjuangkan kehidupan rakyat,” katanya.