'Rasuah dan hutang meningkat, jika UMNO berkuasa' - Tun M

Dr Mahathir dan kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.
Dr Mahathir dan kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa masalah rasuah akan terus berleluasa dan negara menanggung beban hutang yang lebih banyak sekiranya UMNO kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, mengambil contoh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kapal tempur pesisir (LCS) yang bernilai berbilion ringgit, ia dijangka akan menatijahkan kesan buruk kepada negara.

Dr Mahathir berkata, wang tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat, memberi biasiswa dan membangunkan infrastruktur.

“Sekarang ini, terdengar ada pihak di dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin mengaut keuntungan untuk diri di dalam projek pembelian Self-Propelled Howitzer (SPH), yang membabitkan RM854 juta.

“Skandal ini terdedah apabila surat arahan Ismail Sabri kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disebarkan yang mengarahkannya untuk berikan kontrak secara rundingan terus kepada satu syarikat yang baru ditubuhkan tidak sampai dua tahun.

“Tender terhad yang awal, dibatal supaya syarikat yang terpilih ini diberi tawaran tender rundingan terus,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Selasa.

Dr Mahathir juga berpandangan, penyertaan UMNO dalam PRU15 dilihat sebagai bertujuan membebaskan ‘penyamun’ dan mengelak daripada dipenjarakan.

Tambahnya, rakyat seharusnya berhati-hati dengan masalah rasuah itu yang dijangka membawa kepada peningkatan hutang negara.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin sekarang ini belum terasa akibat hutang negara yang tinggi melainkan dari segi kos sara hidup yang meningkat, kos untuk berniaga dan kos membeli bahan binaan dan sebagainya.

“Pengundi perlu sedar apabila kos ini meningkat, peniaga dan pemilik perusahaan akan menaikkan harga barangan dan lambat laun, jika hutang negara terus meningkat akibat dari perbuatan rasuah, kadar inflasi akan dan sudah pun meningkat.

“Nilai wang di tangan rakyat akan menyusut nilai dan kuasa membeli terus menyusut,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, pada waktu tersebut gurauan bahawa satu guni duit tidak cukup untuk beli segantang beras bukan lagi satu jenaka tetapi satu perkara yang realiti.

“Kerana itu saya terus berjuang menentang rasuah dan penyamun-penyamun untuk menyekat mereka kembali memerintah.

“Selagi ada hayat dan upaya saya takkan biarkan penyamun dan perasuah hancurkan negara tanpa ditentang,” katanya.