16,000 peluang pekerjaan di Karnival Jamin Kerja

Siri karnival kerjaya akan diadakan di Tapah, Perak esok menawarkan lebih 4,000 jawatan kosong. - Gambar fail
Siri karnival kerjaya akan diadakan di Tapah, Perak esok menawarkan lebih 4,000 jawatan kosong. - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 16,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor tersedia dalam tiga Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung di Perak dan Selangor minggu ini.

Siri karnival kerjaya anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu akan diadakan di Arena TN50, Tapah, Perak esok, yang akan menawarkan lebih 4,000 jawatan kosong.

Pada Khamis dan Jumaat, karnival itu akan diadakan di 1 Plaza, Kuala Selangor, yang menyediakan lebih 5,600 peluang pekerjaan dan di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali, Hulu Selangor dengan lebih 6,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

Perkeso menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan disediakan di karnival itu termasuk bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs yang menawarkan sebanyak 293,878 jawatan kosong aktif kepada pencari kerja di seluruh negara.

"Portal ini turut menyediakan 13,134 jawatan kosong aktif di Perak dan 85,349 kekosongan jawatan aktif di Selangor buat pencari kerja tempatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, majikan yang mengambil bahagian berpeluang menerima insentif daripada Program JaminKerja-Insentif Penggajian sehingga RM42,000 bagi setiap pengambilan pekerja golongan sasar termasuklah penganggur, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan golongan wanita.

Bagi pencari kerja yang memperoleh pekerjaan pula berpeluang menerima bantuan mobiliti sebanyak RM500 secara one-off.

"Karnival yang berlangsung di tiga kawasan itu adalah sebagai mendukung matlamat inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia untuk menurunkan kadar pengangguran negara.

"Ia juga merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh demi pembangunan ekonomi yang mampan. Ia juga memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur, sekali gus menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pencari kerja boleh berkunjung secara walk-in atau datang terus ke karnival berkenaan untuk sesi temu duga terbuka selain digalakkan mendaftar menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my sebelum menghadiri karnival itu. - Bernama