Warisan tanding 26 kerusi Parlimen di Semenanjung

Mohd Shafie (tengah) ketika sidang akhbar Majlis Memperkenalkan Calon-calon Warisan bagi kerusi Parlimen Semenanjung dalam PRU15 di Ampang pada Selasa.
Mohd Shafie (tengah) ketika sidang akhbar Majlis Memperkenalkan Calon-calon Warisan bagi kerusi Parlimen Semenanjung dalam PRU15 di Ampang pada Selasa.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Parti Warisan (Warisan) mengumumkan akan bertanding sebanyak 26 kerusi Parlimen di Semenanjung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung, parti itu akan bertanding sebanyak 16 kerusi setakat ini.

Menurutnya, ada beberapa lagi tempat yang belum diumumkan nama calon dan kawasan untuk ditandingi oleh parti itu.

“Saya dah katakan tadi, sebelum 5 haribulan (penamaan calon). (Parlimen) Arau saya belum putuskan siapa calonnya. Ada sesetengah tempat belum lagi kita putuskan.

“Saya belum habis lagi putuskan mana kerusi yang kita perlu bertanding. Contoh di Sungai Petani kita belum putuskan siapa nak jadi calon di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Memperkenalkan Calon-Calon Warisan Bagi Kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia Dalam PRU15, di sini pada Selasa.

Antara nama-nama besar dipertaruhkan oleh Warisan ialah bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat di Parlimen Pandan bagi mencabar calon Pakatan Harapan (PH) iaituTimbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Turut dicalonkan, bekas ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong yang bertanding di Wangsa Maju dan bekas Ahli Parlimen DAP, Ooi Chuan Aun atau lebih dikenali Jeff Ooi di Bayan Baru.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Shafie, tokoh-tokoh yang diumumkan adalah tergolong daripada anak muda, berkelulusan dan berpengalaman luas dalam pentadbiran.

“Ada doktor, akauntan, bekas menteri, bekas presiden parti. Ini satu gabungan yang saya yakin boleh kita paparkan kepada rakyat Malaysia

“Mereka ini mempunyai pengalaman diyakini mampu bersuara di Parlimen dalam usaha untuk memastikan kita di landasan yang baik,” ujarnya.

Meskipun pernah berhadapan dengan kekalahan di enam DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohd Shafie yakin parti berkenaan mempunyai penyokong berdasarkan sambutan di negeri itu.

“Walaupun kita sedar tidak ada kerusi menang ketika bertanding di (PRN) Johor tapi ada beberapa ribu menyokong Warisan walaupun dalam tempoh tiga minggu berkempen.

“Hari ini ada sesetengah kawasan mereka gemar memilih calon bebas bukan setakat kepartian. Ada sesetengah tempat sudah berlaku sebelum ini. Di Johor, pernah ada calon Bebas menang Parlimen,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Shafie turut mengulas faktor partinya menolak bergabung dengan gabungan parti di negara ini.

“Daripada saya bergabung dengan parti, baik saya bergabung dengan rakyat. Maka dengan itu, Warisan menawarkan tanpa ada gabungan dan kita lihat keadaannya,” katanya.

Senarai calon Parlimen Parti Warisan (Warisan):

PERLIS

P01 Padang Besar - Ko Chu Liang

P02 Kangar - Rohimi Shapiee

P03 Arau (Bakal diumumkan kelak)

KEDAH

P08 Pokok Sena - Noraini Md Salleh

P09 Alor Setar - Datuk Fadzil Hanafi

P10 Kuala Kedah - Syed Araniri Syed Ahmad

P14 Merbok - Khairul Anuar Ahmad

P17 Padang Serai - Mohd Bakhri Hashim

PULAU PINANG

P42 Tasek Gelugor - Mohd Akmal Azhar

P46 Batu Kawan - Ong Chin Wen

P50 Jelutong - Martin Lim Huat Poh

P52 Bayan Baru - Jeff Ooi Chuan Aun

PERAK

P71 Gopeng - Dr Balachandran Gopal

P72 Tapah - Mohamed Akbar Sherrif Ali Yasin

P74 Lumut - Mohd Isnin Ismail

SELANGOR

P99 Ampang - Bryan Lai Wai Chong

P100 Pandan - Tan Sri Ong Tee Keat

P101 Hulu Langat - Datuk Abdul Rahman Jaafar

P110 Klang - Dr Loo Cheng Wee

KUALA LUMPUR

P114 Kepong - Young Shang Yi

P115 Batu - Naganathan Pillai

P116 Wangsa Maju - Wee Choo Keong

NEGERI SEMBILAN

P129 Kuala Pilah - Datuk Azman Idris

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Parti Warisan (Warisan):

PERLIS

N01 Titi Tinggi - Khaw Hock Kong

N02 Beseri - Mohd Shamim M Nordin

N06 Bintong - Mohamad Khair Mohd Noor

N07 Sena - Ko Chu Liang

N08 Indera Kayangan - Atan Jasin

N09 Kuala Perlis - Muhamad Hairi Noordin

N10 Kayang - Khairuddin Abdullah

N11 Pauh - Khalid Ahmad

N14 Simpang Empat - Wan Noralhakim Shaghir Saad

PERAK

N44 Sungai Rapat - Roshanita Mohd Basir

N45 Simpang Pulai - Hooi Mi Suet

N46 Teja - Low Leong Sin

N47 Chenderiang - Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali

N48 Ayer Kuning- Noor Hasnida Mohd Hashim

N51 Pasir Panjang - Nur Inderasyawalis Ahmad Mukhtar

N52 Pangkor - Yahaya Ahmad