ISN nadi kejayaan Pearly-Thinaah

Pearly (tiga dari kiri) dan Thinaah (tiga dari kanan) bersama pegawai ISN. Foto FB ISN.
Pearly (tiga dari kiri) dan Thinaah (tiga dari kanan) bersama pegawai ISN. Foto FB ISN.
A
A
A

IBARAT wira tak di dendang, sentuhan kepakaran Institut Sukan Negara (ISN) menjadi antara nadi penting melonjak kejayaan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M.Thinaah merangkul kejuaraan di Terbuka Perancis pada Ahad.

Biarpun memegang karakter di belakang tabir, namun peranan mereka cukup berkesan menerusi proses rawatan pemulihan dalam tempoh pendek untuk memastikan Pearly kembali di tahap maksimum selepas dibelenggu kecederaan hamstring.

Bantuan tenaga pakar ISN itu sangat berbaloi apabila Pearly dan Thinaah seakan mendapat tonik tambahan untuk beraksi dalam dua kejohanan di Eropah-Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Pada awalnya peluang untuk mereka beraksi pada kejohanan itu dilihat samar kerana dibimbangi mengalami anterior cruciate ligament (ACL).

Pearly ditimpa kecederaan hamstring sehingga terpaksa dibawa keluar dengan kerusi roda ketika Terbuka Jepun awal September lalu.

Namun diagnosis awal ISN serta rawatan pemulihan berterusan memastikan Pearly-Thinaah dapat beraksi sekali gus memahat sejarah menjadi beregu wanita negara pertama mengungguli Terbuka Perancis sejak diperkenalkan pada 1908.

"Kita rangka proses rehabilitasi dan perancangan untuk mereka kembali semula ke aksi kompetitif dengan pelan berstruktur, dan semua proses ini harus dilakukan berdasarkan bukti dan data.

"Saya memberikan pujian kepada pasukan perubatan kami yang bertungkus lumus memberikan rawatan intensif kepada Pearly untuk mencapai tahap kecergasan yang sepenuhnya sekali gus meraih kejayaan di Perancis," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Ramli.

Artikel Berkaitan:

Pegawai yang terlibat dalam proses pemulihan Pearly ialah pakar perubatan ISN, Dr Jazmiza Khuzairi yang antara lain bertanggungjawab menjalankan ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) ke atas pemain itu.

Turut berperanan besar ialah sekumpulan empat pegawai yang diketuai Jerry Gan (pegawai analisa prestasi sukan).

Tiga pegawai lain ialah Nor Efendi Yassin (pegawai fisioterapi sukan), Sebah Anak Kari (juru urut sukan) dan Shafiq Amran (pegawai suai fizikal).

Mereka bertanggungjawab untuk memastikan tahap kecergasan Pearly dan kesemua pemain badminton negara berada di tahap tertinggi.