JPJ Selangor kutip RM527,878 lelongan kenderaan sita

Salah seorang pembida membida bagi sebuah motosikal jenis Honda EX5.
Salah seorang pembida membida bagi sebuah motosikal jenis Honda EX5.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Selangor mencatatkan kutipan sebanyak RM527,878 menerusi acara Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 3/2022 di Seksyen 7, di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, sebanyak 135 buah kenderaan pelbagai jenis yang disita sejak lima tahun lalu terjual dalam acara lelongan berkenaan.

"Sebanyak 135 kenderaan yang disita JPJ Selangor telah dilelong selepas mendapat arahan lucut hak daripada mahkamah.

"Acara hari ini mendapat sambutan daripada individu persendirian dan ada juga pemilik bengkel yang hadir. Keseluruhannya sebanyak 180 dokumen lelongan berharga RM70 setiap satu telah terjual," katanya pada sidang media di Dewan Melati, Seksyen 7 di sini pada Isnin.

Khairul berkata, jumlah pembida yang hadir pada acara berkenaan adalah seramai 92 orang manakala harga bidaan tertinggi dicatatkan adalah membabitkan sebuah kereta jenis Honda Integra sebanyak RM58,000.

Katanya, antara kenderaan yang disita adalah motosikal sebanyak 97 buah, kereta (17), jip (tiga), bas (empat), van (empat), lori kargo am (dua), semi treler (satu).

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ Selangor telah mengutip lebih dari RM5 juta hasil daripada lelongan awam kenderaan sita sejak tahun 2019 hingga Isnin melibatkan sebanyak 483 buah kenderaan.

"Kutipan daripada pelupusan secara lelongan awam di Selangor pada bulan Mac dan Julai lalu adalah sebanyak RM370,560 melibatkan 60 buah kenderaan pelbagai jenis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua kenderaan terbabit disita daripada pemandu yang melanggar peraturan trafik dan tidak dituntut dalam tempoh ditetapkan selepas notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik.

"Antara kesalahan dilakukan pemilik kenderaan terbabit adalah kereta klon, tiada lesen memandu, memandu bawah umur, mengganggu nombor chasis, dan kenderaan potong-sambung," jelasnya.