Langgar embargo: Kesalahan Najib serius, kata PM

Hamparan Facebook Najib mengenai Kertas Putih Felda, semalam. - Foto: Zahid Izzani
Hamparan Facebook Najib mengenai Kertas Putih Felda, semalam. - Foto: Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan kesalahan serius kerana memuat naik sebahagian kandungan dokumen Kertas Putih Felda yang berstatus embargo di Facebook miliknya, semalam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Parlimen akan mengambil tindakan terhadap perbuatan Ahli Parlimen Pekan itu kerana melanggar peraturan mesyuarat.

“Ini satu perbuatan yang serius kerana beliau (Najib) bukanlah wakil rakyat yang baharu dilantik, tetapi seorang yang pernah jadi perdana menteri, namun bertindak tanpa mengambil kira peraturan-peraturan.

“Beliau (Najib) memuat naik satu kertas yang telah di embargo.

"Kita pandang serius perkara ini dan kita akan ambil tindakan supaya beliau akan diberi peringatan bahawa tidak ada sesiapa yang lebih tinggi daripada peraturan-peraturan Parlimen,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam Najib yang juga bekas menteri kewangan memuat naik satu gambar yang menunjukan sebahagian daripada kandungan Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kertas Putih Felda itu diletakkan status embargo dan hanya boleh didedahkan kepada umum selepas jam 11.30 pagi tadi.

Menurut Peraturan Mesyuarat 95A, mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan yang menghina Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan: