Bayi baru lahir ditinggalkan di hentian bas

Bayi lelaki yang dipercayai baru sahaja dilahirkan itu dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan. - Foto PDRM
Bayi lelaki yang dipercayai baru sahaja dilahirkan itu dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan. - Foto PDRM
A
A
A

SERDANG - Penduduk di sekitar Jalan SB Indah 2, Seri Kembangan digemparkan dengan penemuan seorang bayi lelaki dipercayai dibuang di hentian bas berhampiran sebuah pangsapuri di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, bayi berkenaan dipercayai baru sahaja dilahirkan sebelum ditinggalkan di hentian bas terbabit.

"Pada Isnin, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima maklumat daripada MERS 999 Call Cars di mana pengadu seorang lelaki tempatan memaklumkan telah menjumpai seorang bayi.

"Siasatan awal mendapati bayi lelaki berkenaan ditinggalkan dalam sebuah kotak berwarna coklat di hentian bas berhadapan Pangsapuri Sungai Besi Indah, Seri Kembangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, usaha mengesan individu yang meninggal bayi malang terbabit di hentian bas berkenaan sedang giat dijalankan pihaknya.

Usaha untuk mengesan saksi bebas serta kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran sedang dijalankan.

"Bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: