Dah lali: Anas Tahir

Anas Tahir dan Faizal Tahir. - Foto Sinar Harian Rosli Talib
Anas Tahir dan Faizal Tahir. - Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A
A

KETIKA awal pembabitannya di dalam industri seni dua tahun lalu, Anas Tahir pernah mendedahkan dia sanggup mengaku bergelar anak tunggal kerana enggan dibayangi populariti abangnya, Faizal Tahir.

Namun selepas berada di dalam industri seni, dia semakin lali dengan perkara itu dan kini tidak kisah dikenali sebagai adik Faizal Tahir.

Cerita selebriti berusia 36 tahun ini, dia pada awalnya tidak mengaku Faizal sebagai abangnya kerana kurang selesa ditanya pelbagai perkara mengenai abangnya itu.

"Ketika itu saya jual roti tepi jalan, jadi bila mengaku Faizal abang saya, soalan akan bertambah, kepada apa dia buat sekarang, apa perkembangan dia.

"Kalau seorang dua dapatlah saya jawab, tapi bila dah ramai yang tanya dan kebetulan tengah sibuk membuatkan saya terfikir untuk mengaku saya anak tunggal.

"Walaupun dah dua tahun dalam industri, masih ada yang tanya adakah saya adik Faizal Tahir dan saya mengaku sahaja.

"Lama-lama dah lali dan tak boleh buat apa pun kerana memang hakikatnya kami adik-beradik," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya tidakkah dia mahu mencuba menjadi penyanyi seperti abangnya dan berduet bersama, Anas berkata, dia tidak merasakan bidang nyanyian adalah forte buatnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa tak ada bakat dalam bidang nyanyian, kalau berduet itu mungkin boleh dipertimbangkan.

"Tapi setakat ini abang Faizal tak pernah offer pula saya berduet (ketawa).

"Ada juga saya berjinak-jinak mencipta lagu, tapi untuk menyanyi sendiri itu tak lah, mungkin beri pada orang lain," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, filem pertama lakonan Anas, Tiada Tajuk kini masih lagi ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Selain Anas, filem arahan Mawi itu turut dibintangi Mawi sendiri bersama Hazama, Along Cham, Joey Daud atau Zoey, Ropie, Amira Othman dan ramai lagi.