PKR lebih layak tanding di Tapah, Sungai Siput dan Sembrong

Rafizi ditemui pemberita selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Tebrau di Taman Gaya, Johor Bahru, pada malam Ahad.
Rafizi ditemui pemberita selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Tebrau di Taman Gaya, Johor Bahru, pada malam Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih layak bertanding di Parlimen Tapah, Sungai Siput dan Sembrong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjelaskan, ini kerana tiga Parlimen itu merupakan kerusi tradisi PKR selain parti mempunyai rekod yang baik, kekuatan sokongan peringkat akar umbi dan kekuatan jentera di kawasan tersebut.

Menurutnya, walaupun kerusi itu diminta Muda dan PSM, beliau melihat PKR lebih berpotensi untuk menang di tiga Parlimen tersebut walaupun parti berkenaan masih belum mengumumkan calonnya.

"Kita tidak mengumumkan calon kerusi itu bukan bermaksud kita melepaskannya, ini kerana rundingan bersama Muda dan PSM masih berlangsung.

"Dalam rundingan itu, kita bagi ruang serta mendengar hujah mereka kenapa mahukan kerusi yang sudah pun kami tandingi sekian lama.

"Akhirnya keputusan dibuat dan diputuskan bahawa PKR adalah lebih baik serta berpeluang untuk menang di ketiga-tiga kerusi itu berdasarkan track record parti," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Tebrau di Taman Gaya di sini pada malam Ahad.

Turut hadir Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Johor Bahru dan Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Naib Presiden PKR, K Saraswathy akan bertanding di Tapah, S Kesavan yang merupakan penyandang di Sungai Siput akan kekal di kerusi itu dan Sembrong ditandingi Hasni Abas.

Mengenai perebutan kerusi Parlimen Sembrong, Rafizi berkata, ia merupakan kerusi tradisi parti dan yakin mampu memperoleh keputusan lebih baik pada PRU15 ini.

Tambahnya, PKR berjaya merapatkan jurang undian dengan penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mewakili BN pada PRU14.

"Pada 2013, majoriti undian Hishamuddin hanya 6,000. Jadi setiap pilihan raya kita berjaya turunkan (jurang) undi dengan mereka. Hasil rekod yang bagus dan usaha selama 20 tahun itu berjaya membuatkan undi mereka turun.

"Tidak wajar bila mereka tengok kerusi ini ada peluang menang, maka tiba-tiba semua orang nak (bertanding) kerusi itu," ujar beliau.