Jangan selesa dengan Tok Gajah

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengingatkan pemain pasukan itu supaya tidak berasa terlalu selesa untuk bertemu Sri Pahang FC pada perlawanan kedua pusingan awal Piala Malaysia, Selasa nanti.

Walaupun berjaya menewaskan skuad kendalian Datuk Dollah Salleh dengan perbezaan jaringan yang besar di Stadium Darul Makmur pada Khamis lalu, TFC tidak boleh leka kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam aksi timbal balik di laman sendiri.

“Kita dapat keputusan positif di Kuantan untuk bawa balik ke tempat sendiri tapi itu belum menjamin kita layak, ada 90 minit lagi untuk layak ke suku akhir jadi kena selesaikan 90 minit itu. Macam-macam boleh terjadi dalam bola.

“Sama seperti di Kuantan, tidak sangka kita menang dengan gol begitu tapi ia berlaku dan merupakan satu kejutan buat pasukan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran wajah baharu Kopi Super Jantan oleh Pengarah Urusan GLE Centre, Zulkifli Harun di Kompleks Sukan Gong Badak di sini pada petang Ahad.

Nafuzi berkata, beliau tetap berasa bimbang dengan kehadiran Tok Gajah kerana skuad tersebut merupakan sebuah pasukan berkualiti namun nasib tidak menyebelahi mereka ketika bermain di laman sendiri.

Sehubungan itu, Nafuzi mahu semua pemain memberi tumpuan dan mempersembahkan permainan menarik kepada penyokong TFC apatah lagi perlawanan kedua berlangsung di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Sudah pasti, pasukan Pahang lebih bermotivasi apabila datang ke sini sebab mahu menebus kekecewaan perlawanan Khamis lalu jadi kita kena bersedia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berharap penyokong Terengganu dapat memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memberi sokongan kepada pasukan TFC ketika berdepan dengan Sri Pahang FC.

TFC mempamer aksi cemerlang apabila menewaskan Sri Pahang 5-1 pada perlawanan pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur Khamis lalu.

Kemenangan tersebut memberi bekalan selesa buat skuad Penyu dan boleh dianggap sebelah kaki ke pentas suku akhir walaupun keputusan akhir bakal ditentukan pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Selasa.