90 minit paling konsisten Tok Gajah

Pemain TFC Jordan Mintah (kiri) diasak penjaga gol Sri Pahang Izham Tarmizi Roslan pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pemain TFC Jordan Mintah (kiri) diasak penjaga gol Sri Pahang Izham Tarmizi Roslan pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
A
A
A

KEJAYAAN Sri Pahang FC melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super mendapat pujian pengendali Fandi Ahmad.

Malah tanpa berselindung Fandi menyifatkan berdepan skuad Penyu dipacu Tomislav Steinbrückner merupakan aksi paling konsisten sejak dari awal hingga perlawanan berakhir.

Katnya, pemain Tok Gajah berhak diberi pujian terutama barisan pertahanan yang melaksanakan tugas paling cemerlang di hadapan lebih 10,000 penyokong skuad Penyu.

“Saya rasa perlawanan malam ini (malam tadi) adalah persembahan terbaik kita (Sri Pahang FC) setakat ini. Biasa kita main tak konsisten, sama ada beraksi baik di separuh masa pertama atau di masa kedua.

“Tetapi hari ini kita penuh dengan disiplin, semangat juang dan berpasukan yang sangat tinggi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tiga mata di laman TFC itu menyaksikan Sri Pahang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan,

Status tersebut sekali gus menyaksikan Tok Gajah naik daripada tangga kelima ke kedudukan ketiga carta Liga Super musim ini dengan 22 mata.

Sementara itu, Steinbruckner tidak menyalahkan pemainnya 100 peratus atas kekalahan kelima selepas mengharungi 10 perlawanan tersebut.

Bagaimanapun dia mengakui agak terkilan kerana pemain-pemain gagal memanfaatkan deretan peluang dalam bentuk jaringan.

“Saya tidak boleh salahkan pemain kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menang.

“Kami juga mencipta banyak peluang namun tidak menghasilkan lebih banyak gol untuk menang,” katanya.