DAP pertaruh Fatin Zulaikha di Mersing

Dari kiri: Fatin Zulaikha, Ni Ching, Chin Tong dan Shu Qi.
Dari kiri: Fatin Zulaikha, Ni Ching, Chin Tong dan Shu Qi.
A
A
A

SKUDAI - DAP melengkapkan tujuh calon bagi kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila mengumumkan empat lagi calon, pada malam Ahad.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyaksikan Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung sejak 2018 sehingga kini, Fatin Zulaikha Zaidi akan bertanding di kerusi Parlimen Mersing.

Fatin Zulaikha ialah calon wanita Melayu ketiga yang ditampilkan oleh parti itu untuk bertanding pada PRU15 selepas Young Syefura Othman (Bentong) dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).

Beliau turut mengumumkan bahawa Pengerusi DAP Johor yang juga ADUN Perling, Liew Chin Tong akan bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri menggantikan penyandangnya, Lim Kit Siang.

Penyandang lain yang akan mempertahan kerusi masing-masing ialah bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching di Parlimen Kulai dan Wong Shu Qi (Kluang).

Syabas kepada semua calon terutamanya calon wanita kita yang baharu, Fatin Zulaikha yang akan bertanding di kubu kuat BN.

"Oleh itu saya harap semua pengundi di Mersing dapat memberikan sokongan kepadanya dan seterusnya memastikan kemenangan PH di Mersing nanti," katanya ketika berucap ketika mengumumkan calon Pakatan Harapan, malam Ahad.

Artikel Berkaitan:

Anthony (tengah), bersama veteran DAP, Lim Kit Siang (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengerusi, Gobind Singh Deo.
Anthony (tengah), bersama veteran DAP, Lim Kit Siang (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengerusi, Gobind Singh Deo.

Beliau turut mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen di Johor yang membabitkan empat calon lelaki dan tiga calon wanita.

Sebelum ini, bekas ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali diumum bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam manakala Pang Hok Liong mempertahan kerusi Labis dan bekas ADUN Skudai, Tan Hong Pin di Bakri.

Sementara itu, Anthony berkata, pihaknya kagum dengan semangat dan keberanian Fatin Zulaikha yang bersedia untuk bertanding di kubu kuat BN itu.

Bagaimanapun katanya, senario itu turut memberikan gambaran bahawa DAP sememangnya menghormati wanita hingga memberikan kepercayaan kepada golongan itu untuk bertanding pada PRU15.

"Saya dengan ini mengumumkan DAP akan mempertaruhkan seramai tujuh calon di Johor, melibatkan empat calon lelaki manakala tiga calon wanita.

"Ini menunjukkan kita memang menyokong wanita dan mempercayai kemampuan mereka untuk menandingi wakil rakyat dan pemimpin sedia ada," katanya.


Dari intern ke Parlimen

Tiada siapa menyangka pelajar praktikal di DUN Johor Jaya suatu ketika dahulu kini bakal bertanding di kerusi Parlimen Mersing (P.154) pada PRU15 kelak.

Bagaimanapun, itulah realitinya apabila Fatin Zulaikha Zaidi, 29, diumumkan selaku calon DAP bagi kerusi berkenaan pada PRU kali ini.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata ini, segalanya bermula apabila dia memulakan latihan praktikalnya di DUN Johor Jaya beberapa tahun lalu.

Katanya, setelah dia juga diberikan kepercayaan untuk menjadi pegawai khas kepada wakil Pengerusi DAP Negeri Johor ketika ini, Liew Ching Tong.

“Perjalanan saya bersama parti ini (DAP), bermula apabila saya memulakan latihan praktikal di DUN Johor Jaya.

“Saya kemudiannya diberikan kepercayaan menjadi pegawai khas kepada (YB) Liew Ching Tong dan kemudiannya saya turut dilantik sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pasir Gudang bagi penggal 2018 hingga 2020 lalu.

“Kini, saya diberikan kepercayaan pula untuk bertanding di kerusi Parlimen Mersing dan dengan pengalaman yang ada ini saya akan lakukan yang terbaik pada PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu, Fatin Zulaikha yang berasal dari Johor Bahru itu turut berkata, dia akan cuba lakukan yang terbaik pada PRU15 kelak.

Justeru katanya, rakyat di negeri ini terutamanya di Mersing, diharap dapat keluar beramai-ramai untuk mengundi.

“Saya akan cuba lakukan yang terbaik dengan berbekalkan pengalaman yang saya miliki pada PRU15 nanti.

“Cuma saya mengharapkan agar kesemua pengundi, terutamanya rakyat di Mersing yang ‘berani’ berubah untuk keluar mengundi,” katanya.

Fatin Zulaikha
Fatin Zulaikha