Polis kemuka kemas kini siasatan Tommy Thomas kepada AGC

Acryl Sani ketika ditemui pengamal media selepas hadir Majlis Penutupan Kursus Tiger Platoon PGA di Markas Batalion 6 PGA hari ini. - Foto Bernama
Acryl Sani ketika ditemui pengamal media selepas hadir Majlis Penutupan Kursus Tiger Platoon PGA di Markas Batalion 6 PGA hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Polis akan mengemukakan hasil siasatan yang telah dikemas kini membabitkan Tan Sri Tommy Thomas kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas kemas kini selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, hasil siasatan tersebut adalah melibatkan empat kertas siasatan berhubung buku 'My Story: Justice in Wilderness' yang ditulis bekas peguam negara itu serta satu kertas siasatan berhubung kenyataan Tommy pada satu forum pada 17 September lepas.

"Saya diberitahu bahawa rakaman percakapan Tan Sri Tommy Thomas telah pun kita laksanakan juga dengan Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan ada beberapa perkara yang perlu pihak polis laksanakan ekoran arahan...yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara untuk kita kemas kini perkara berkaitan siasatan yang kita dibuat.

"Jadi mungkin ada sedikit masa yang kita perlukan dan selepas ini, kita akan kemukakan balik semula kepada Pejabat Peguam Negara untuk mereka membuat keputusan dan meneliti kertas siasatan tersebut," kata beliau kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Batalion 6 PGA, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, percakapan Tommy direkodkan di Bukit Aman pada 27 Oktober lepas manakala percakapan Jeyakumar dirakam pada 22 Oktober.

Acryl Sani berkata, percakapan kedua-duanya akan diambil kira serta disekalikan dengan hasil siasatan buku, yang akan disekalikan sekali untuk dikemas kini.

"Kita (Polis) buat semua. Keterangan kita ambil, segala perkara yang berkaitan dengan apa yang ditohmahkan itu kita akan ambil kira dan kita akan serahkan kepada pihak Peguam Negara," kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengenai perkembangan terkini siasatan terhadap bekas peguam negara itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 Oktober lepas, AGC dilaporkan memulangkan kembali kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia untuk dilengkapkan.

Sementara itu, Tommy dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia itu juga dilaporkan dipanggil PDRM untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan ke atas Thomas mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam sebuah forum bulan lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!