Conte lega Tottenham menang

Davies (kanan) meraikan jaringan bersama Bentancur di Stadium Vitality, Bournemouth. - Foto AFP
Davies (kanan) meraikan jaringan bersama Bentancur di Stadium Vitality, Bournemouth. - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengakui lega kelab London itu bangkit ketinggalan dua gol untuk memenangi perlawanan 3-2 ke atas Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality pada Sabtu.

Malah tanpa berselindung pengurus kelahiran Itali itu mengakui berkemungkinan berdepan 'serangan jantung' sekiranya gol masa kecederaan Rodrigo Bentancur dibatalkan pada perlawanan tersebut.

Tottenham sebelum itu menamatkan rentak tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila bangkit penuh dramatik di Stadium Vitality hasil jaringan babak kedua daripada Ryan Sessegnon, Ben Davies dan Bentancur sekali gus memadam dua gol awal The Cherries, Kieffer Moore.

Tambah menarik gol kemenangan jaringan Bentancur yang melengkapkan kebangkitan pelawat mencetuskan sambutan meriah dalam babak mengimbau kenangan ketika seri 1-1 semasa melayan kunjungan Sporting Lisbon dalam saingan Liga Juara-Juara pada Khamis.

Tottenham dinafikan kemenangan pada pertengahan minggu selepas video bantuan pengadil (VAR) memutuskan percubaan lewat Harry Kane adalah ofsaid, sekali gus menghalang kemenangan Spurs yang akan membolehkan pasukan itu mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Biarpun begitu Conte yang menyaksikan Bentancur menjaringkan gol kemudiannya memasuki terowong laluan pasukan sebelum keluar semula selepas pengadil mengesahkan jaringan tersebut.

“Saya kembali apabila saya tahu gol jaringan Bentancur disahkan.

“Sejujurnya saya boleh diserang sakit jantung kerana dalam masa dua hari untuk menjaringkan gol dan kemudian gol itu dibatalkan, saya menuruni terowong dan bertenang, kemudian menunggu keputusan pengadil.

Artikel Berkaitan:

“Namun saya amat gembira apabila dapat melihat keinginan pemain untuk bangkit memenangi perlawanan ini selepas berdepan Sporting Lisbon sebelum ini,” katanya.