Kon Yeow ke Batu Kawan, Guan Eng kekal Bagan

Chow Kon Yeow dicalonkan sebagai calon Ahli Parlimen Batu Kawan dalam PRU15 ini.
Chow Kon Yeow dicalonkan sebagai calon Ahli Parlimen Batu Kawan dalam PRU15 ini.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang sebelum ini merupakan penyandang Ahli Parlimen Tanjong dicalonkan sebagai calon Ahli Parlimen Batu Kawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau menggantikan penyandang Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU15 ini.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih kekal di kerusi Bagan.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook di Persiaran Karpal Singh di sini pada Ahad.

Selain Guan Eng, terdapat tiga calon yang dikekal di Parlimen masing-masing iaitu RSN Rayer di kerusi Jelutong, Steven Sim Chee Keong di kerusi Bukit Mertajam dan Ramkarpal Singh di kerusi Bukit Gelugor.

Sementara itu, DAP turut mengemukakan dua muka baru yang kedua-duanya calon wanita iaitu Lim Hui Ying dan Syerleena Abdul Rashid.

Hui Ying merupakan adik kepada Guan Eng yang juga Setiausaha DAP Pulau Pinang dan Ahli Dewan Negara (Senator) merupakan calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Tanjong bagi menggantikan Kon Yeow.

Sementara itu, Syerleena menjadi calon wanita Melayu kedua yang dicalonkan DAP pada PRU15 dan akan bertanding di Parlimen Bukit Bendera.

Artikel Berkaitan:

Syerleena yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima menggantikan penyandang Bukit Bendera, Wong Hon Wai yang melepaskan kerusi itu bagi memberi tumpuan di peringkat negeri.