Sediakan rumah 'mesra' OKU

Ras Adiba
Ras Adiba
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi menggesa kerajaan negeri dan Pusat untuk memberi perhatian kepada projek perumahan yang mesra golongan orang kurang upaya (OKU).

Ahli Dewan Negara yang mewakili OKU itu berkata, ini kerana kekurangan kemudahan atau sokongan akan menyukarkan pergerakan golongan OKU, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di bangunan tinggi.

Selain pendidikan, menurut beliau, golongan tersebut memerlukan rumah yang sesuai untuk mereka dan hal itu amat penting kerana biasanya tempat-tempat yang disediakan di negara ini tidak mesra OKU.

“Sukar untuk kami. Ada sahabat-sahabat saya duduk di tingkat tiga, empat, berbulan-bulan tidak turun dan ketika nak turun, orang perlu membantu dengan kerusi roda.

“Jadi, saya memohon agar kerajaan negeri dan Pusat terutamanya untuk memastikan ada sokongan terhadap perumahan mesra OKU,” katanya kepada Kompas Rasuah Buster Edisi Khas PRU15 bertajuk OKU Pun Ada Hak! yang dihoskan oleh Muhammad Shamsul Abd Ghani pada Sabtu.

Ras Adiba (kanan) diwawancara oleh Muhammad Shamsul dalam program Kompas Rasuah Buster Edisi Khas PRU15 bertajuk OKU Pun Ada Hak pada Sabtu.
Ras Adiba (kanan) diwawancara oleh Muhammad Shamsul dalam program Kompas Rasuah Buster Edisi Khas PRU15 bertajuk OKU Pun Ada Hak pada Sabtu.

Ras Adiba yang juga pengerusi agensi berita Bernama menambah, kerajaan negeri dan Pusat juga perlu menitikberatkan spesifikasi OKU agar segala kemudahan disediakan sesuai untuk mereka.

“Seperti kita lihat di negara-negara luar dan sesetengah kawasan di negara kita, penghuni di bangunan tingkat bawah mempunyai laluan kerusi roda OKU, segalanya landai dan pintu masuk pula besar.

Artikel Berkaitan:

"Segelintir orang tanya kenapa di tangga ada besi di bawah dan di atas, itu kerana besi di atas untuk mereka yang boleh berdiri tetapi mungkin menghadapi sedikit kesukaran seperti warga emas, manakala di bawah untuk kanak-kanak dan juga OKU kerdil. Orang tidak tahu perkara itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan dapat memperbaiki Akta OKU 2008 demi kebaikan golongan berkenaan.

“Akta OKU 2008 mesti diperbaiki. Insya-ALLAH kita bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Pembangunan OKU untuk membaiki akta tersebut supaya kami mempunyai lebih hak bagi mempertahankan diri kami,” tegas beliau.