Harimau Malaya uji Kemboja, Maldives

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan dua aksi pemanas badan menjelang saingan Piala AFF pada Disember. -Foto: Agensi.
Skuad Harimau Malaya akan mengadakan dua aksi pemanas badan menjelang saingan Piala AFF pada Disember. -Foto: Agensi.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon akan melakukan dua aksi pemanas badan bertaraf Tier 1 sebagai persiapan bagi mengharungi Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) Disember depan.

Biarpun bakal menentang pasukan yang menghuni ranking di bawah skuad kebangsaan, namun perlawanan persahabatan itu mampu menjadi titik kebangkitan pasukan negara pada Piala AFF.

Pasukan Kemboja dan skuad Maldives, yang menghuni ranking 177 serta 154 menjadi pilihan Harimau Malaya dengan kedua-dua aksi dijadualkan berlangsung di ibu negara.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, perlawanan menentang Kemboja akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala aksi dengan Maldives pula di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja pada 9 Disember sebagai persiapan pasukan akan berlangsung di Stadium Nasional.

“Satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Maldives pada 14 Disember dijadualkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam kempen AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Myanmar, Singapura dan Vietnam.

Perlawanan pertama skuad kebangsaan, menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember disusuli melayan kunjungan Laos di laman sendiri pada 24 Disember.

Artikel Berkaitan:

Malaysia kemudian akan bertandang ke Hanoi untuk bertemu Vietnam pada 27 Disember sebelum mengakhiri aksi peringkat kumpulan berkunjung ke negara jiran, Singapura pada 3 Januari 2023.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan di tangga teratas akan melangkah ke separuh akhir untuk berdepan dua lagi pasukan terbaik daripada Kumpulan A.

Pada edisi 2021 di Singapura, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan B selepas masing-masing kalah dan menang dua kali untuk mengutip enam mata.