Bayi maut tersedak susu di rumah pengasuh

Kenangan Hafeez bersama anaknya, Harraz.
Kenangan Hafeez bersama anaknya, Harraz.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hancur luluh hati seorang bapa ketika melihat bayi lelakinya yang berusia empat bulan terkulai layu dan disahkan meninggal dunia akibat tersedak susu, di Kampung Melayu Majidee, petang semalam.

Mohd Hafez Mohamad, 31 yang bertugas sebagai jurutera di sebuah kilang di Tampoi bergegas ke rumah pengasuh setelah dimaklumkan anaknya, Harraz tidak sedarkan diri kira-kira jam 2.30 petang.

"Pengasuh telefon saya beritahu anak tak sedarkan diri saya dari tempat kerja terus ke rumah pengasuh. Saya tengok anak saya dalam keadaan muka warna biru dan badannya sejuk.

"Saya terus bawa ke klinik terdekat naik motosikal. Masa dukung Harraz di bahu, saya dapat rasakan dia dah tak ada," katanya.

Selepas dirujuk ke Klinik Kesihatan Kampung Melayu Majidee, bayinya dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru namun disahkan telah meninggal dunia.

Gambar Allahyarham Harraz bersama ibu dan kakaknya sempat dirakam ketika menghantar datuk dan neneknya ke lapangan terbang untuk menunaikan umrah di mana mereka masih belum dimaklumkan tentang kehilangan cucu mereka.
Gambar Allahyarham Harraz bersama ibu dan kakaknya sempat dirakam ketika menghantar datuk dan neneknya ke lapangan terbang untuk menunaikan umrah di mana mereka masih belum dimaklumkan tentang kehilangan cucu mereka.

Hafeez menuntut jenazah anaknya di hospital selepas proses bedah siasat selesai kira-kira jam 2 petang tadi dan jenazah akan dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Rangin, Kuantan, malam ini.

Hafeez dan isterinya yang dikenali sebagai Najihah, 29 memiliki sepasang cahaya mata di mana anak sulung mereka berusia tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara, abangnya, Mohd Raihan, 35 berkata pihak keluarga mahu siasatan dijalankan secara terperinci oleh pihak berkuasa kerana mereka percaya ada unsur kecuaian hingga meragut nyawa anak saudaranya.

"Adik saya nak sangat anak lelaki, dah dapat tapi ALLAH beri pinjam sekejap sahaja. Kami mahu polis siasat betul-betul sebab kami percayai pengasuh cuai.

"Dia seorang jaga tujuh anak orang serentak. Memang dia tak boleh fokus. Padahal adik saya dah minta pengasuh itu pergi daftar sebab dah ramai anak orang dijaganya.

"Mula-mula dia cuma jaga anak adik tapi lama-lama dia terima beberapa orang lagi sampai jadi tujuh orang. Dia jaga anak yang pertama baik sangat, sebab itu percaya," katanya.