PRU15: Parti di Sabah mula umum senarai calon

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti-parti yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sabah mula mengumumkan keseluruhan senarai calon masing-masing bermula Sabtu.

Ia dimulai oleh Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di mana Presidennya, Datuk Peter Anthony memaklumkan bahawa beliau akan mengumumkan senarai calon lain selain empat yang sudah diumumkan sebelum ini.

Beliau sebelum ini berkata, pengumuman diadakan pada Sabtu di Tenom kerana calon yang akan diumumkan turut melibatkan kawasan pedalaman.

Pengumuman calon seterusnya diikuti oleh Parti Ikatan Demokratik (Muda) yang akan diadakan pada Isnin ini di pejabat Muda di Damai dan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka turut hadir pada hari berkenaan.

Pakatan Harapan (PH) Sabah juga dijangka mengumumkan senarai calon untuk gabungan itu pada hari yang sama di mana Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir pada program Jelajah Mega Harapan di Tuaran.

PH Sabah terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan kepada pemberita bahawa gabungan itu dijangka mengumumkan senarai calon mereka pada Selasa atau Rabu depan.

"Mungkin 1 atau 2 November depan, jangan risau mesti positif. Tiada gaduh punya," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, senarai calon BN juga turut diumumkan bersama GRS pada hari yang sama di mana agihan kerusi bagi gabungan parti itu bersama BN dilakukan mengikut formula yang telah dipersetujui.

Parti Warisan (Warisan) pula turut menyatakan akan mengumumkan barisan calon mereka pada Khamis depan selepas pengumuman calon Semenanjung dilakukan pada Selasa.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam siri jelajahnya di Keningau memaklumkan beliau akan membuat pengumuman senarai calon bagi kerusi di Semenanjung yang Warisan akan bertanding.

"Saya akan ke Semenanjung dan saya akan umumkan calon 1 November nanti dan di Sabah pada 3 November," katanya.

Warisan sebelum ini mengumumkan akan bertanding di semua 25 kerusi di Sabah dan setakat ini sudah menamakan lapan calon yang mewakili parti itu bagi Parlimen Sipitang, Kimanis, Papar, Kota Belud, Sepanggar, Penampang, Pitas dan Kudat pada PRU15 kali ini.