PN sasar menang semua 15 kerusi Parlimen di Kedah

Muhammad Sanusi (dua kiri) dan Ahmad Faizal (tiga kori) pada Majlis Himpunan Jentera PN Kedah, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada malam Jumaat. -Foto FB Pas Kedah
Muhammad Sanusi (dua kiri) dan Ahmad Faizal (tiga kori) pada Majlis Himpunan Jentera PN Kedah, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada malam Jumaat. -Foto FB Pas Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) Kedah menyasarkan menang semua 15 kerusi Parlimen di negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu berdasarkan kepada perbezaan undi yang tipis antara calon Pas dan Barisan Nasional (BN) di beberapa Parlimen pada PRU lalu.

Menurutnya, individu yang terpilih menjadi calon pada PRU15 perlu bekerja keras untuk menang di kawasan dengan kerjasama semua jentera parti komponen dalam PN.

"Kita di Kedah sudah putuskan pembahagian kerusi iaitu lapan kerusi diletakkan calon Pas manakala tujuh kerusi lagi adalah untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Parti Gerakan mereka menyatakan belum bersedia untuk letak calon.

"Kita akan gunakan logo PN dan yakin mampu rampas kerusi Parlimen yang kita kalah sebelum ini contohnya di Baling pada PRU14, BN menang 38,000 undi berbanding calon Pas 37,000 undi

"Kita perlu 1,000 undi lagi untuk tewaskan penyandangnya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim," katanya pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Himpunan Jentera PN Kedah, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, dekat sini.

Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi PN Perak.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perbezaan undi yang tidak banyak pada PRU14 di Kedah juga dapat dilihat di Parlimen Padang Terap apabila penyandangnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid cuma menang 1,300 undi berbanding calon Pas.

"Jadi tak kan kita tak boleh menang di dua Parlimen ini (Parlimen Baling dan Padang Terap), begitu juga di Parlimen Langkawi, tak kan kita tak boleh lawan dengan calon yang hampir menjangkau umur 100 tahun dan menang di situ," ujar Muhammad Sanusi lagi.

Menteri Besar Kedah itu turut memberikan bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu bakal dibubarkan selepas Hari Raya Aidiladha pada Julai tahun hadapan.

Menurutnya, masa itu dilihat sesuai selepas Umat Islam menyambut Ramadan pada Mac, Hari Raya Aidilfitri pada April dan kemudiannya Hari Raya Aidiladha pada penghujung Jun.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. -Foto FB Pas Kedah
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. -Foto FB Pas Kedah