'Pusara' di simpang lampu isyarat

Antara kesalahan melanggar lampu isyarat merah yang dikesan dilakukan oleh pengguna jalan raya.
Antara kesalahan melanggar lampu isyarat merah yang dikesan dilakukan oleh pengguna jalan raya.
A
A
A

PETALING JAYA - Pelanggaran lampu isyarat merah bukan isu baharu dilakukan pengguna jalan raya di negara ini.

Lebih membimbangkan, pelanggaran lampu isyarat ini bukan sahaja dilakukan penunggang motosikal bahkan pemandu kenderaan lain seperti kereta, van, malah turut dilakukan oleh segelintir pemandu lori.

Pelbagai operasi dan penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengatasi masalah ini.

Namun ia seolah-olah tidak memberikan kesan kepada pengguna jalan raya yang didapati terus melakukan kesalahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pelbagai alasan diberikan pemandu yang melanggar lampu isyarat; antaranya lewat, mengejar masa dan terpaksa menunggu lama disifatkan sebagai tidak relevan.

Mohamad Fakhrudin
Mohamad Fakhrudin

“Memang banyak alasan diberikan yang mana melibatkan masa tetapi bagi saya tidak sesuai kerana kepatuhan terhadap lampu isyarat ini penting bukan sahaja ia undang-undang jalan raya tapi melibatkan nyawa.

“Perbuatan melanggar lampu isyarat ini seolah-olah menggadaikan nyawa bukan sahaja pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan itu tetapi melibatkan pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lampu isyarat bertujuan untuk melancarkan lalu lintas dan bukannya melambatkan perjalanan.

“Lampu merah misalnya ada masa yang ditetapkan, biasanya dalam satu minit atau seminit 30 saat sekiranya banyak kenderaan.

“Bagi kawasan yang padat dan ada banyak persimpangan sememangnya perlu ada lampu isyarat bagi memastikan aliran lalu lintas lancar,” jelasnya.

Tegasnya, kepatuhan terhadap lampu isyarat ini bukan sekadar peraturan lalu lintas namun ia turut melibatkan sikap.

“Isu melibatkan pelanggaran lampu isyarat bukan perkara baharu, ia merupakan satu kesalahan yang sering berlaku sejak dahulu.

“Sikap tergesa-gesa dan mengejar masa sehingga mengabaikan keselamatan diri antara faktor berlakunya kesalahan ini,” tambah beliau.

Mahu mengejar masa antara alasan yang diberikan segelintir pengguna jalan raya yang didapati melanggar lampu isyarat.
Mahu mengejar masa antara alasan yang diberikan segelintir pengguna jalan raya yang didapati melanggar lampu isyarat.

Jelasnya, antara golongan yang dikesan kerap melakukan kesalahan ini melibatkan remaja serta penunggang p-hailing.

“Di Petaling Jaya telah beberapa kali mencatatkan kemalangan jalan raya melibatkan pelanggaran lampu isyarat merah ini.

“Sesiapa sahaja mahu cepat untuk tiba ke lokasi dengan pelbagai tujuan sama ada kerja atau sebagainya, namun paling penting yang perlu dititikberatkan adalah soal keselamatan,” katanya.

Tumpu lokasi hotspot

Dalam usaha memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya termasuk tidak melanggar lampu isyarat merah, anggota polis diletakkan di beberapa kawasan persimpangan lampu isyarat bagi memastikan aliran lalu lintas berjalan lancar.

Mohamad Fakhrudin berkata, penguatkuasaan dijalankan melibatkan tindakan termasuk saman terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar lampu merah.

“Langkah ini melibatkan beberapa kawasan persimpangan yang dikesan berlakunya aliran trafik tinggi, memandangkan Petaling Jaya merupakan bandar yang besar, waktu puncak dilihat antara waktu di mana kerap berlakunya pelanggaran lampu isyarat,” ujarnya.

Mohamad Fakhrudin berkata, pelbagai kaedah dijalankan termasuk kerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti JPJ meliputi soal penguatkuasaan dengan mengadakan operasi bersepadu.

“Operasi bersepadu antara langkah yang diambil bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kesalahan melibatkan pelanggaran lampu isyarat merah antara yang diberi fokus dan operasi ini kita jalankan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti kerap pengguna jalan raya melakukan kesalahan ini,” jelasnya.

Penguatkuasaan dan operasi sering dijalankan pihak polis dalam memastikan penggguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas.
Penguatkuasaan dan operasi sering dijalankan pihak polis dalam memastikan penggguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas.

Usaha mendidik pengguna jalan raya dengan mempergiatkan kempen-kempen berkaitan peraturan jalan raya sentiasa dipertingkatkan dari masa ke masa.

Jelas Mohamad Fakhrudin, usaha sebegini dijalankan secara berterusan bagi mendidik pengguna agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengambil inisiatif mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya.

“Kita tekankan mengenai kesalahan melanggar lampu isyarat merah yang mana bukan sahaja bahayakan nyawa sendiri tetapi pengguna yang lain,” katanya.

Tidak peduli nyawa sendiri

Melanggar lampu isyarat merah merupakan isu yang serius dan perlu ditangani secara menyeluruh dan sikap antara faktor utama peraturan jalan raya ini seringkali dilanggar pengguna jalan raya.

Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, kecuaian selain tidak mempedulikan nyawa sendiri dan orang lain dilihat menjadi sebab utama pengguna jalan raya kerap kali melakukan kesalahan ini.

Tengku Ahmad Marwan
Tengku Ahmad Marwan

“Melanggar lampu merah bukan satu isu baru malah ia merupakan satu kesalahan yang popular dan kerap kali dilakukan pengguna jalan raya.

“Bukan soal lampu isyarat itu yang kononnya dikatakan mengambil masa terlalu lama untuk bertukar ke hijau dan sebagainya, namun apa yang kita lihat adalah sikap pengguna jalan raya itu sendiri dan perkara ini perlu diubah,” katanya.

Katanya, aspek pembelajaran di sekolah memandu yang mana menekankan aspek keselamatan seolah-olah langsung tidak diaplikasikan ketika berada di jalan raya.

“Peraturan jalan raya yang mana antaranya mematuhi lampu isyarat antara aspek ditekankan apabila seseorang itu memasuki kelas memandu.

“Namun kita lihat, ia sekadar untuk melepasi syarat semata-mata, belajar dalam kelas memandu tetapi selepas dapat lesen, apa yang dipelajari terus dilupakan,” tegasnya.

Lampu isyarat direka bagi melancarkan aliran trafik dan bukannya untuk menyusahkan pengguna jalan raya.
Lampu isyarat direka bagi melancarkan aliran trafik dan bukannya untuk menyusahkan pengguna jalan raya.

Jelasnya, aspek pematuhan lampu isyarat perlu diterapkan dengan lebih berkesan dan dijadikan satu penanda aras bagi memastikan seseorang itu lulus dalam ujian memandu.

“Dalam soal ini, kita mahu kesalahan melanggar lampu isyarat ini diberikan penekanan yang lebih lagi bukan sahaja dalam kelas memandu, malah selepas seseorang itu berjaya memiliki lesen memandu.

“Misalnya selepas seseorang itu berjaya memiliki lesen memandu dan sekiranya dikenakan saman atas kesalahan melanggar lampu isyarat, mereka ini perlu dikenakan sistem demerit,” tegas beliau.

Menurutnya, sistem demerit ini melibatkan peratusan tertentu kesalahan jalan raya.

“Sekiranya didapati demerit mereka telah melebihi peratusan tertentu maka lesen yang dimiliki perlu dibatalkan,” tambahnya.

Jelasnya, langkah ini mungkin dilihat agak drastik namun ia perlu bagi memastikan kesalahan melibatkan pelanggaran lampu isyarat merah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Tengku Ahmad Marwan berkata, persimpangan lampu isyarat merupakan antara lokasi bahaya dan risiko berlakunya kemalangan amat tinggi sekiranya pengguna jalan raya tidak mematuhi lampu isyarat.

“Risiko berlaku kemalangan ini amat tinggi untuk berlaku di kawasan yang mempunyai lampu isyarat dan boleh dikatakan kadar kes kemalangan di lokasi sebegini berlaku akibat pengguna melanggar lampu merah.

“Dalam soal ini, amat penting untuk pengguna jalan raya mematuhi lampu isyarat, jangan kerana kita mahu mengejar masa, nyawa pula yang digadaikan,” ujarnya.

Penunggang motosikal tertinggi langgar lampu merah

Statistik dikeluarkan PDRM mendapati penunggang motosikal antara paling tinggi dikesan atas kesalahan tidak patuh lampu isyarat sepanjang tempoh 16 hari operasi pada September lalu di seluruh negara.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Operasi Khas Lampu Isyarat Merah itu dijalankan bermula 15 hingga 30 September lalu di 1,659 lokasi membabitkan kekuatan 1,541 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 71,069 kenderaan telah diperiksa dengan 16,163 saman dikeluarkan di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat).

“Selain itu, 24,276 saman juga telah dikeluarkan bagi lain-lain kesalahan,” jelasnya.

Penunggang motosikal antara yang kerap dikesan melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat.
Penunggang motosikal antara yang kerap dikesan melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat.

Tambah beliau, pihak polis memandang serius sikap dan trend pengguna jalan raya yang mewujudkan risiko kemalangan ekoran tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.

“Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” ujarnya.


INFO

Antara enam kesalahan utama lalu lintas:

- Memandu melebihi had laju

- Tidak mematuhi lampu isyarat

- Memandu di lorong kecemasan

- Memotong di garisan berkembar

- Memotong barisan

- Menggunakan telefon bimbit ketika memandu


KRONOLOGI

Kemalangan melibatkan pelanggaran lampu isyarat:

1 FEBRUARI 2022

ALOR GAJAH - Padah langgar lampu isyarat, dua beradik parah selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah Jasin (AMJ) dalam kejadian jam 8.15 malam.

16 FEBRUARI 2022

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu Perodua Myvi disaman gara-gara melanggar lampu isyarat sehingga nyaris merempuh seorang murid di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman.

21 FEBRUARI 2022

KUALA PILAH - Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum dirempuh sebuah kereta di persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol.

1 OGOS 2022

ALOR GAJAH - Tindakan seorang penunggang motosikal dipercayai melanggar lampu isyarat merah mengakibatkan dia maut dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Gangsa.

20 OGOS 2022

PASIR GUDANG - Seorang penunggang motosikal cedera parah akibat dirempuh sebuah kereta selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Besar/Jalan Bandar.