PN Perak anggap Nik Omar, Shamsul Iskandar nama biasa

Ahmad Faizal ditemu bual pemberita selepas Himpunan Jentera PN Kedah di Kompleks Pas Kedah pada malam Jumaat.
Ahmad Faizal ditemu bual pemberita selepas Himpunan Jentera PN Kedah di Kompleks Pas Kedah pada malam Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak tidak gentar dengan kehadiran beberapa calon Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan nama besar dan bertanding di kerusi Parlimen negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, calon PN negeri itu diyakini mampu berdepan calon lawan antaranya bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Nik Omar Nik Abdul Aziz yang merupakan anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Pada anda ataupun pada PKR mereka adalah calon 'heavyweight' tetapi pada kami mereka adalah nama biasa.

"Kami yakin dengan calon-calon yang ada dalam kalangan kepimpinan di dalam PN Perak dan kami tidak ada kurangnya.

"PN Perak akan memperkenalkan juga manifesto untuk kita tawarkan kepada seluruh pengundi di Perak di dalam Pilihan Raya Negeri dan juga PRU15," katanya pada sidang akhbar selepas Himpunan Jentera PN Kedah di Kompleks Pas Kedah pada malam Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian mengulas mengenai pencalonan Nik Omar yang mewakili PH untuk salah sebuah kerusi Parlimen di Perak.

Shamsul Iskandar pula yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka diumumkan bertanding mewakili calon PH di Bagan Datuk.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal (tengah) bersama pimpinan PN Kedah.
Ahmad Faizal (tengah) bersama pimpinan PN Kedah.

Mengulas tentang pertembungannya dengan Anwar di Kerusi Parlimen Tambun, Ahmad Faizal menjelaskan beliau membawa semangat PN Tambun dan bukannya bergerak secara individu.

Menurutnya, calon Perdana Menteri dari PH itu juga perlu berpijak pada kenyataan dan bukannya terus diulit mimpi.

"Pertamanya mereka perlu berjaya menubuhkan kerajaan untuk menjadi Perdana Menteri tetapi kalau beliau mengharapkan kerjasama dengan Presiden UMNO untuk beliau menjadi Perdana Menteri terpulang kepada dia.

"Tetapi pada saya kami mengamalkan kerja sepasukan, kita tidak membawa seseorang calon tetapi semangat PN Tambun dengan menawarkan perkhidmatan kami kepada pengundi-pengundi di Tambun," ujar Ahmad Faizal lagi.