Agong berangkat ke pelancaran projek perumahan sumbangan UAE

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kiri) berkenan bersalaman dengan Pengerusi Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE, Dr Hamdan Musalak Al Mazruei pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE di PPS Kampung Temai Hulu pada Jumaat. -Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kiri) berkenan bersalaman dengan Pengerusi Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE, Dr Hamdan Musalak Al Mazruei pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE di PPS Kampung Temai Hulu pada Jumaat. -Foto: Bernama
A
A
A
PEKAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang, Sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE ) pada Jumaat.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Temai Hulu itu disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Duta UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammed Alghaith dan Pengerusi Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE, Dr Hamdan Musallam Al Mazrouei.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang, Ismayati Ismail, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Datuk Hafizah Zakaria dan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda berharap agar pihak kontraktor yang terlibat menyegerakan pembinaan rumah tersebut sebelum ketibaan musim Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

"Penerima juga harus bersyukur dengan pemberian ini kerana bukan semua orang dapat rumah seperti ini. Jangan pula bila terima rumah timbul soal nak jual datang ke fikiran kita... kalau boleh rumah ini biarlah sampai ke anak cucu," titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE, khususnya Presiden Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan, atas sumbangan itu yang dilihat terhasil daripada keakraban hubungan Seri Paduka dengan Sheikh Mohamed Zayed.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima sembah taklimat daripada Ismayati yang memaklumkan projek itu merupakan sumbangan kerajaan UAE kepada mangsa banjir.

Ismayati berkata, projek itu melibatkan peruntukan lebih RM12.1 juta bagi membina 123 unit rumah di tujuh daerah iaitu Lipis, Jerantut, Maran, Pekan, Raub, Temerloh dan Bentong.

Beliau berkata rumah berkeluasan 750 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta perabot, melibatkan rumah setingkat bernilai RM75,000 dan rumah bertiang bernilai RM100,000. - Bernama
Artikel Berkaitan: