PKR serah kepada kebijaksanaan PM pilih MB Johor: Anwar

Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - PKR menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memilih calon Menteri Besar Johor yang baharu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bersandarkan kepada konsensus PH, PKR tidak akan mengemukakan nama calon, sebaliknya menerima mana-mana calon yang dipilih Bersatu.

“Soal calon Menteri Besar Johor, seperti konsensus, kita teruskan cara berunding dan sekarang Bersatu jadi menteri besar. Kita serah kepada kebijaksanaan Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin untuk putuskan, itu pendirian kita," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada PKR terbuka untuk menerima mana-mana calon yang dikemukakan Bersatu, Anwar berkata, selalunya PKR akan dimaklumkan terlebih dahulu, calon yang dipilih sebelum bersetuju.

“Selalunya diberikan maklum, kami setuju. Mengenai pendirian ini saya telah maklumkan kepada Perdana Menteri dan Presiden Bersatu. Sebab kita dah putuskan, dan selalunya kalau ikut konvensyen, kalau Bersatu, Bersatu lah,”ujar Ahli Parlimen Port Dickson itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kediaman rasmi MB Johor lengang, tiada kelibat Osman

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir hari ini bahawa keputusan melantik Menteri Besar Johor bukan ditangan Sultan Johor, Anwar berkata, Perdana Menteri hanya merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai hak mereka yang menang dalam pilihan raya untuk menentukan calonnya.

“Perlembagaan jelas menyatakan mengenai mereka yang mendapat undian majoriti di peringkat Parlimen atau DUN. Namun, persetujuan Sultan (untuk Menteri Besar) dan Yang di-Pertuan Agong (untuk Perdana Menteri) itu diperlukan dalam pelantikan,” katanya.

Artikel Berkaitan: