PN mampu urus Felda: Hamzah

Hamzah Zainuddin - Foto Bernama
Hamzah Zainuddin - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan bahawa pemimpin parti itu mampu menguruskan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan baik termasuk membayar semua hutang sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, rakyat tahu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyelesaikan semua hutang itu ketika menjadi Perdana Menteri.

"Kita tidak senang jika berdepan hutang yang besar, hidup dalam keadaan gelisah dan ketakutan.

"Siapa yang akan membayar hutang itu? Pengundi sudah mengetahuinya bahawa hutang berbilion ringgit sudah selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Taklimat Persediaan Pilihan Raya Umum (PRU15 dan Banjir 2022 pada Jumaat.

Hamzah memberitahu, pemimpin yang mahu memimpin negara ialah mereka yang benar-benar bersih dan tidak dikongkong oleh orang yang lain.

"Perdana Menteri kena tahu tanggungjawab dengan lebih baik," katanya.

Beliau turut memberitahu, semua nama untuk calon PN kini sudah dihantar kepada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kesemua mereka telus dan bersih.

Artikel Berkaitan:

Pada sidang akhbar sama, Hamzah berkata, cadangan BN mencalonkan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu, Datuk Mohd Nizar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak menyukarkan PN.

Menurut beliau, PN akan meletakkan calon yang boleh memimpin dan bersih demi masa depan negara yang lebih baik.

"Masa depan negara lebih penting, maka kita letak calon yang tahu bagaimana mengurus negara dengan lebih baik," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Nizar mungkin akan bertanding pada PRU15 mewakili kerusi Parlimen Pekan sebagai meneruskan legasi Allahyarham Tun Razak.