PN umum calon awal November ini

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PAGOH - Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan seranai calon akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2 atau 3 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun pembahagian kerusi antara parti dan pelantikan calon bertanding telah selesai namun gabungan itu masih meneliti senarai nama calon untuk proses tapisan.

Jelasnya, senarai calon itu akan melalui empat tapisan iaitu di peringkat semakan polis, jabatan kebankrapan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"(Kita sedang) teliti nama calon yang dihantar oleh semua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas seluruh negara.

"Akan selesai sehari, dua lagi untuk lalui proses saringan polis supaya tiada isu keselamatan, nak calon tiada kes bankrap, tiada kes rasuah dan tak nak ada kes hutang," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program sembang santai bersama masyarakat Cina di Kedai Kopi Pekan Bukit Kepong.

Tambahnya, pengumuman calon akan dibuat awal November ini sebagai persiapan mengisi borang pencalonan.

Muhyiddin berkata, PN hanya akan bertanding 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen.

Jelasnya, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan kemudian namun kini sudah di peringkat akhir.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Muhyiddin berkata, pembahagian kerusi antara parti dan pelantikan calon bertanding pada PRU15 melibatkan parti komponen PN telah selesai.

Manifesto PN selepas penamaan calon

Dalam pada itu, PN akan melancarkan manifestonya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada awal November ini selepas hari penamaan calon.

Muhyiddin berkata, segala tawaran bagi melaksanakan setiap inisiatif dan bantuan kepada rakyat akan diperjelaskan satu demi satu pada hari tersebut.

"Ini termasuk komitmen PN untuk melaksanakan inisiatif terkandung dalam Bajet 2023 yang baru dibentang di Parlimen tetapi tidak sempat dibahas serta diluluskan.

"Kami akan meneliti dan melakukan penambahbaikan terhadap Bajet 2023," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau akan mempertimbangkan rayuan sebuah persatuan supaya satu moratorium khas diperkenalkan kerajaan bagi memberi ruang kepada sektor perniagaan mengukuhkan kembali aliran kewangan perniagaan yang masih tidak pulih akibat keadaan ekonomi semasa.

Ujarnya, moratorium itu boleh dilaksanakan bagi membantu rakyat dan tidak menggunakan duit kerajaan.

Jelasnya, satu jawatankuasa bebas akan dibentuk terdiri daripada mereka yang memahami soal pengurusan serta kewangan negara.

"Saya turut cadangkan pengerusi manifesto kita, Datuk Dr Radzi Jidin supaya memaklumkan kepada rakyat bahawa segala perjanjian ini bukan sebagai tawaran sahaja.

"Ini boleh menambah keyakinan rakyat bahawa kita tidak main-main tawar bulan, bintang dan matahari tetapi tak buat apa-apa macam kerajaan terdahulu.

"Janji nak buat bantuan, tak buat. Saya tidak boleh buat macam ni, itu tak amanah," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 November ini, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.