[VIDEO] JBPM lancar pasukan khas hadapi Monsun Timur Laut

Mohammad Hamdan menampal pelekat MTL RED Team ke atas jentera pasukan itu. Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohamad.
Mohammad Hamdan menampal pelekat MTL RED Team ke atas jentera pasukan itu. Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohamad.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan gerak khas bagi menghadapi Monsun Timur Laut, Rapid Emergency Deployed (MTL RED Team) dilancarkan bagi memantapkan lagi persiapan dan persediaan perkhidmatan kebombaan serta penyelamatan yang lebih efisien.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pasukan itu diletakkan di 11 buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

"MTL RED Team juga diletakkan di dua buah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM Wilayah Tengah) dan ABPM Wilayah Utara," katanya.

Menurutnya, seramai 253 anggota, 58 unit bot, 41 unit kenderaan utiliti dan 33 buah lori akan bersedia pada setiap hari di lokasi yang ditetapkan oleh JBPM negeri.

"Komposisi minimum bagi MTL Red Team adalah terdiri daripada 12 anggota, dua unit bot penyelamat, satu unit kenderaan utiliti dan sebuah lori bagi tujuan lojistik dan penyelamatan serta pemindahan mangsa banjir," katanya ketika sidang akhbar pelancaran MTL RED Team di Ibu Pejabat JBPM dekat sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pasukan itu dianggotai seorang anggota dari pasukan khas Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan seorang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi memastikan operasi penyelamatan berada pada tahap yang optimum.

"Jika berlaku banjir di sesebuah kawasan dan balai tersebut tidak boleh respon, MTL RED Team akan bergerak dengan cepat," katanya.

Mohammad Hamdan berkata, bagi negeri yang tidak mempunyai MTL RED Team, respons akan dilakukan oleh balai terdekat, bomba sukarela dan bomba komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tahap logistik mereka kritika, ramai terkandas, MTL RED Team terdekat akan membantu," katanya.

Sementara itu, pada perkembangan lain, JBPM menasihati orang awam agar menangguhkan aktiviti rekreasi air pada waktu sekarang berikutan musim Monsun Timur Laut.

Ujar Mohammad Hamdan, JBPM merekodkan 226 kes lemas di air sejak awal tahun sehingga kini.

Berdasarkan pecahannya, sungai dan tali air merekodkan 136 kes yang mana 132 daripadanya membabitkan kematian.

"Kes lemas ini kebiasaannya melibatkan golongan muda dan orang luar dari kawasan rekreasi air tersebut," katanya.