Pas tampil calon tempatan ganti Khairuddin di Kuala Nerus

Husain
Husain
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas menampilkan beberapa calon tempatan di kerusi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menggantikan tempat penyandangnya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, parti itu yakin mampu memenangi majoriti tinggi biarpun kerusi itu dikatakan bakal berdepan saingan sengit.

"Kerusi itu memang milik kita dan kita menang (PRU14) pun memang dengan jumlah majoriti yang tinggi, maka harapan untuk menang itu masih terus menerus.

"Kita sudah ada kemukakan cadangan dua, tiga calon di situ dalam kalangan orang tempatan, orang Kuala Nerus," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan markas induk Pas dan pelancaran jentera pilihan raya di sini malam Khamis.

Dalam pada itu, Husain turut menolak jangkaan bahawa calon Pas akan tergugat sekiranya Mohd Khairuddin turut bertanding sebagai calon Bebas di kerusi itu.

"Kita yakin akan dapat pertahankan sama ada Khairuddin bertanding (atas tiket) UMNO ke, Bebas ke, kita yakin akan terus menang di kerusi itu.

"Orang pas sudah mengambil sikap dan telah yakin dengan perjuangan, setia dengan parti walaupun pemimpinnya bertukar haluan

"Kita yakin Pas tidak tergugat kerana undi berdasarkan perjuangan Parti bukan atas individu," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairuddin sebelum ini dilaporkan akan bertanding atas tiket Bebas untuk mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU14 itu.

Pada PRU14 lalu, beliau meraih 37,974 undi dengan majoriti 8,447 menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN), Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang mendapat 29,527 undi.

Mohd Khairuddin turut menewaskan calon dari Pakatan Harapan (PH), Abdullah Muhammad yang memperoleh 4,604 undi.

Pada 14 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu membuat keputusan mengejutkan iaitu berhenti daripada menjadi ahli parti itu selari dengan Fasal 15(1)(a) Perlembagaan Pas iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

Mohd Khairuddin menjadi ahli Pas selama 33 tahun sejak 1989 dan pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan sejak 1999 dan yang terakhir sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas.