Polis cari lelaki bantu siasatan kes tipu pakej kahwin

No Image Caption
A
A
A

BENTONG - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan pakej perkahwinan membabitkan kerugian RM20,900.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek dikenali Muhammad Lutffi, 28, dikehendaki bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihak polis telah menerima dua aduan pada Isnin berkaitan penipuan pakej perkahwinan yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.

"Mangsa masing-masing iaitu ibu pengantin berusia 57 tahun dan pengantin berusia 28 tahun mendakwa terpedaya selepas melihat iklan pakej perkahwinan di laman Facebook.

"Antara pakej ditawarkan termasuk set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.

"Setelah bersetuju untuk mengambil pakej tersebut, mangsa diminta datang berjumpa suspek untuk berunding dan meminta bayaran penuh bagi menempah pakej perkahwinan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zaiham berkata, selepas mangsa membuat pembayaran penuh, suspek menghilangkan diri.

"Hasil siasatan awal mendapati syarikat itu wujud dan telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Lokasi butik pengantin dikenal pasti di bandar Bentong dan kini telah ditutup," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zaiham turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 bagi membantu siasatan.