Rakyat berdepan detik sengsara sepanjang 39 bulan: Zahid

Ahmad Zahid (tengah) bersama Ismail Sabri dan jentera BN Pahang di Dataran Kerayong di Bera pada Khamis..
Ahmad Zahid (tengah) bersama Ismail Sabri dan jentera BN Pahang di Dataran Kerayong di Bera pada Khamis..
A
A
A

BERA - Rakyat di negara ini berdepan detik sengsara sepanjang tempoh 39 bulan ketika diterajui kerajaan terdahulu, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, parti-parti terbabit dilihat gagal dalam menerajui negara ketika tempoh tersebut termasuk mengisytiharkan darurat yang menyebabkan rakyat semakin sengsara.

"Selama 39 bulan, 22 bulan ditambah 17 bulan rakyat seluruh negara amat sengsara. Maka alhamdulillah... ALLAH telah mentakdirkan Perdana Menteri seorang tokoh dari UMNO, dari BN yang menyelamatkan negara ini," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapan sempena program Solidariti Kemakmuran dan Kestabilan Peringkat Negeri Pahang dan pelancaran jentera BN Pahang di Dataran Kerayong di sini pada Khamis.

Hadir sama, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pemimpin parti komponen BN.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta ahli dan jentera BN bekerja keras pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita wajib bekerja keras untuk menentukan bahawa kejayaan kita pada PRU13, PRU12 dan terutamanya PRU11 mesti kita dapatkan semula.

"Tidak mustahil kalau kejayaan pada PRU11... BN dan UMNO sebagai parti teras telah menggamit bukan sahaja lebih daripada 2/3 majoriti di Dewan Rakyat tetapi ketika itu suara pembangkang adalah suara kerdil," ujar beliau.

Jelas beliau, BN mahu mewujudkan sebuah negara yang demokratik namun suara pembangkang yang terlalu kuat akan menggugat kestabilan politik di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memberitahu, rakyat telah sedar dan tahu parti mana yang terbaik.

"Kini terdapat enam parti gabungan yang menawarkan diri untuk bertanding kali ini, selain BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

"Mereka (rakyat) amat rindukan BN untuk dominan semula atas kesengsaraan sengsara 39 bulan," kata beliau lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu BN akan menghidangkan lebih daripada 10 teras manifesto dan akujanji untuk rakyat pada 19 November nanti.

"Malah kita akan menawarkan lebih 90 tawaran untuk seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada kumpulan minoriti hingga majoriti.

"Insya-ALLAH, BN akan memberikan keprihatinan untuk seluruh rakyat di negara ini," jelas Ahmad Zahid.